SEORANG pelajar perempuan berusia enam tahun meninggal dunia selepas papan hitam sementara dan sebahagian dinding sekolahnya runtuh dan menimpanya, pada petang Jumaat.Kejadian yang berlaku di sekolah di daerah Jalore, Rajasthan, India itu sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan infrastruktur sekolah di kawasan luar bandar. Menurut polis, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Preeti sedang bermain bersama rakan-rakan semasa waktu rehat apabila struktur itu tiba-tiba roboh, dan memerangkapnya di bawah serpihan. Kakitangan sekolah dan penduduk tempatan segera membantu mengeluarkan mangsa dan membawanya ke hospital berdekatan.Namun doktor mengisytiharkan pelajar tersebut meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang serius.Siasatan awal menunjukkan kemungkinan wujud kecuaian dalam pembinaan dan piawaian keselamatan. Polis dalam pada itu menambah, tindakan terhadap pentadbiran sekolah akan diambil berdasarkan hasil siasatan.Menurut polis, tiada aduan rasmi difailkan oleh keluarga mangsa setakat ini, tetapi prosiding undang-undang akan dimulakan sebaik aduan diterima.Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah, Bhanwarlal Parmar, berkata sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menyiasat kejadian berkenaan dan laporan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri. -Agensi