suria
mStar - Urban.Versatil

Tragis! Gadis hamil dicekik, dihumban dalam perigi... Teman lelaki bunuh kerana tertekan didesak kahwin

Tekanan cenderung membuatkan seseorang hilang kawalan hingga sanggup membunuh. -Gambar hiasan

SEORANG gadis dibunuh oleh kekasihnya selepas dia didakwa mengugut dan mendesak lelaki itu untuk mengahwininya kerana sedang hamil hasil hubungan mereka. 

Menurut polis, suspek utama yang dikenal pasti sebagai Rajesh, dari Kutch, Gujarat, India, telah menjalin hubungan dengan mangsa yang merupakan penduduk kampung yang sama, selama hampir setahun.

Mangsa yang mendakwa dirinya hamil mendesak suspek untuk berkahwin dengannya dan mengugut akan menghubungi polis jika permintaannya ditolak.

Perkara itu dilaporkan menjadi punca pertikaian berulang antara mereka berdua.

Suspek kemudian meminta bantuan seorang rakan untuk melakukan jenayah tersebut. 

Pada hari kejadian, suspek mengajak mangsa bertemu dengannya dan membuat helah kononnya mereka akan 'berkahwin lari' tanpa pengetahuan keluarga.

Ketika pertemuan itu, suspek mencekik mangsa, kemudian mengikat selendang di pinggangnya dan melekatkan bongkah batu sebelum mencampak mayat mangsa ke dalam perigi di pinggir kampung dalam usaha menyembunyikan jenayah yang dilakukan. 

Keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis selepas dia gagal dikesan.

Hasil siasatan akhirnya membawa kepada penangkapan suspek yang akhirnya mengaku membunuh mangsa. 

Suspek dan rakannya ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh. 

Polis menambah siasatan lanjut masih giat dijalankan. -Agensi

 

Artikel Lain