suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Seorang kusam, seorang lagi terang” - Perunding imej tegur Bella Astillah, Syed Saddiq pilih warna tak ikut palet peribadi

Syed Saddiq dan Bella segak mengenakan busana rekaan haute couture Rizalman. -Foto Astro

PERKAHWINAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama selebriti, Bella Astilah terus menjadi bualan hangat rakyat Malaysia.

Selain majlis akad nikah, upacara berinai serta resepsi mereka turut menjadi perhatian sehingga visual-visual yang dikongsi tular di media sosial.

Peminat bukan sahaja teruja untuk menyaksikan detik manis antara mereka, malah turut ternanti-nanti busana yang digayakan pasangan sejoli itu.

Seorang perunding imej dikenali sebagai Emi Idura turut meraih perhatian ramai selepas berkongsi pandangan peribadinya tentang busana digayakan mempelai berkenaan.

Pasangan ini menggayakan busana biru sewaktu majlis berinai pada Sabtu.

"Rekaan busana perkahwinan mereka sangat cantik. Sayangnya, sering kali pilihan warna mereka tidak menetapi palet warna peribadi masing-masing.

"Seorang kelihatan kusam, manakala seorang lagi terlalu terang. Berdasarkan ciri warna dominan yang dapat dilihat pada kedua-dua mempelai, mereka mempunyai kualiti warna gelap dan terang.

"Syed Saddiq mempunyai tahap kontras sederhana tinggi, manakala Bella pula lebih cenderung kepada warna berkontras tinggi.

"Bagi menyeragamkan penampilan kedua-duanya, lebih cantik jika warna yang dipilih mempunyai kontras tinggi, bersifat gelap dan terang serta bernada sejuk, bukannya sebaliknya," katanya.

Menurut perunding imej itu lagi, penilaian berkenaan tidak dibuat secara membuta tuli, sebaliknya mengambil kira beberapa ciri pada pasangan berkenaan.

"Sebagai perunding imej profesional dan penganalisis warna yang berpengalaman lebih 13 tahun, penilaian dibuat berdasarkan ciri-ciri dominan seseorang individu, termasuk tona kulit, warna rambut dan mata.

Ilustrasi cadangan padanan warna yang dikongsi menerusi Threads Emi Idura.

"Sudah tentu, proses ini memerlukan masa untuk meneliti dan memerhatikan gambar individu berkenaan. Penilaian ini bukan dibuat berdasarkan penampilan mereka pada majlis malam ini sahaja, sebaliknya kami sudah memerhatikan mereka sejak sekian lama," ujarnya lagi.

Perunding imej itu turut memuat naik foto pasangan berkenaan yang dirakam menerusi dua majlis berbeza.

Foto pertama memaparkan pasangan itu menggayakan busana merah rekaan haute couture Rizalman Ibrahim di majlis resepsi pada Ahad.

Foto kedua memaparkan pasangan itu dalam busana rona biru yang digayakan di majlis berinai mereka pada Sabtu.

Bagaimanapun, rata-rata peminat tidak bersetuju dengan pandangan itu, malah mereka turut mempertikaikan kredibiliti perunding imej tersebut.

"Terpaling perunding. Diam je la. Orang nak gembira tengok pengantin. Simpan palet warna kau tu.

"Masalahnya orang yang dikritik tu nampak lebih baik daripada perunding imej.

"Cantik je pada pandangan saya. Warna adalah pilihan masing-masing," tulis netizen.

Untuk rekod, pasangan itu diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di Merdeka 118 Kuala Lumpur pada 10 Oktober.

Majlis resepsi bagi edisi Kuala Lumpur pula berlangsung meriah pada Ahad malam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Artikel Lain