suria
mStar - Urban.Versatil

[V] Budak 12 tahun maut, ibu tiri didakwa paksa minum air panas mendidih! Sempat tunjuk ke arah pelaku sebelum temui ajal

Anwar (kanan) pernah membuat laporan polis tahun lalu selepas Nizam didera isterinya sendiri.

KESEDIHAN yang tidak terungkap menyelubungi penduduk kampung selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya hingga meninggal dunia.

Mangsa, Nizam Syafei dari Kampung Bojongsari, Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia sempat dibawa ke hospital di Jampang Kulon pada pagi Khamis namun disahkan meninggal dunia pada sebelah petang.

Berdasarkan maklumat yang tersebar, Nizam dipercayai mengalami penderaan fizikal yang sangat kejam.

Pada tubuhnya ditemukan luka-luka yang disyaki akibat keganasan, termasuk kesan melecur.

Nizam ketika menerima rawatan di hospital.

Malah, timbul dakwaan mangsa dipaksa meminum air panas yang mendidih.

Kes tersebut menjadi semakin tular apabila muncul rakaman video [Tonton Video] menunjukkan keadaan mangsa di hospital.

Dalam video berkenaan, mangsa yang lemah ditanya tentang siapa pelaku, dan dia didakwa menyebut “mamah”, merujuk kepada ibu tirinya sambil menunjuk ke arah individu berkenaan.

Selain itu, turut tersebar satu video lain yang dirakam sekitar lima hari sebelum kejadian.

Menerusi rakaman itu, mangsa kelihatan murung ketika bersama bapanya, Anwar Satibi di dalam kereta.

Kata Anwar, 38, ketika kejadian dia sedang bekerja di bandar Sukabumi sebelum menerima panggilan daripada isterinya memaklumkan anaknya demam panas.

Difahamkan ketika keluar bekerja anaknya masih berada dalam keadaan normal, namun sejurus pulang dia  terkejut melihat fizikal mangsa yang sangat teruk berbanding sebelumnya.

Gambar kenangan Nizam bersama bapanya, Anwar.

Anwar turut mendedahkan bahawa kejadian penderaan bukan kali pertama berlaku.

Menurut Anwar, dia pernah membuat laporan polis tahun lalu kerana mendakwa anaknya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Namun kes itu diselesaikan melalui orang tengah selepas isterinya merayu dan berjanji untuk berubah dan bertaubat.

Katanya, laporan yang dibuat di Balai Polis Daerah Sukabumi sebelum ini masih belum ditarik balik.

Anwar turut mendakwa jika berlaku pergaduhan antara Nizam dan dua anak angkat isterinya, wanita itu akan memukul Nizam dan bukan anak angkatnya.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Sukabumi, AKP Hartono berkata, pihaknya sedang menyiasat kes ini bagi merungkai kronologi penuh serta motif di sebalik perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Punca sebenar kematian mangsa masih belum diketahui kerana polis masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal selepas proses bedah siasat. -Agensi

Artikel Lain