suria

Tragedi berdarah hari kedua Ramadan... Anak perempuan tikam leher ibu warga emas guna pembuka tin, suspek direman seminggu

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Mustafah Hussin berkata suspek direman hingga 27 Februari.

DIKEMASKINI

WANITA yang ditahan selepas didakwa menikam leher ibunya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, dekat Johol, Negeri Sembilan pada petang Jumaat, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Mustafah Hussin berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tampin, Mohamad Redza Azhar Rezali bermula 21 hingga 27 Februari.

Menurutnya, proses reman dibuat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN)  susulan suspek diarahkan doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut kerana dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan," ujarnya lagi.

Terdahulu mStar melaporkan seorang warga emas berusia lingkungan 80-an cedera di leher selepas ditikam anak perempuannya sendiri dalam kejadian pada petang Jumaat.

Kejadian berdarah pada hari kedua Ramadan itu berlaku ketika umat Islam sedang bersedia untuk berbuka puasa. 

Mangsa dilaporkan diserang oleh suspek yang berusia 50-an itu menggunakan alat pembuka tin.

Pihak polis menerima panggilan berhubung insiden itu daripada orang awam pada pukul 7.08 malam.

Mangsa dikejarkan ke hospital dan kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Artikel Lain