suria
mStar - Urban.Versatil

“Dik, jauh ka hospital?” - Niat cuma nak tunjuk arah, pemuda terdiam bila makcik dedah ibu baru meninggal dunia... Kongsi wang terakhir dalam dompet

Kisah seorang pemuda mengenai pertemuannya dengan wanita warga emas ternyata menyentuh hati netizen.

ADA kalanya, pertemuan dengan seseorang bukan satu kebetulan sebaliknya ia memberi pengajaran paling tidak dijangka. 

Demikian juga dengan kisah dikongsikan oleh seorang pemuda ini mengenai pertemuan tidak sengaja dengan seorang wanita warga emas sewaktu dalam perjalanan ke Plaza Merdeka, Kuching, pada Jumaat. 

Menerusi perkongsian di Threads, pemuda yang menggunakan akaun @shn.plll berkata, dia secara spontan disapa wanita berkenaan yang bertanyakan arah untuk ke Hospital Umum Sarawak. 

"Dik, jauh ka dari sini ke Hospital Umum?" tulisnya mengimbas kembali sapaan wanita tersebut yang kelihatan kepenatan bercampur sedih. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki jumpa orang baik hati, siap bagi ‘rasmi’ helmet baharu! Mat motor sanggup ride jauh hantar pakcik tak dikenali balik rumah

"Saya menyemak Google Maps dan memberitahunya, jauh juga. Dia hanya menjawab, okey lah, dan perlahan-lahan duduk kembali di koridor," kongsinya.

Ketika hendak berlalu pergi, pemuda itu mengakui perasaannya tidak tenang mengenangkan berkemungkinan warga emas itu berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

Justeru dia mengambil keputusan untuk berpatah balik dan bertanya lanjut mengenai masalah sedap dihadapinya.  

Sebahagian daripada reaksi warga maya.

"Saya bertanya kepadanya, makcik mahu pegi hospital? Dia mengangguk dan berkata ibunya baru sahaja meninggal dunia. Dia baru tiba dari Betong dan perlu pergi ke hospital. 

"Semasa dia bercakap, dia berkongsi masalahnya dengan begitu jujur, begitu terbuka. Tiada drama, tiada tokok tambah. Hanya seorang anak perempuan yang sedang menanggung kesedihan," tulisnya.

Tanpa berfikir panjang, pemuda itu membuat tempahan e-hailing ke Hospital Umum Sarawak yang terletak kira-kira 7.5 kilometer (km) dari Plaza Merdeka. 

"Semasa menunggu, saya secara senyap-senyap memeriksa dompet. Saya tak kaya. Saya juga ada tahap kewangan saya sendiri. 

"Tapi saya masih ada angpao dan sedikit wang tunai. Saya memberi apa yang saya mampu. Saat itu saya merasakan sesuatu lebih besar daripada wang.

"Saya berkongsi ini bukan untuk menunjukkan kebaikan. Saya berkongsi sebab belajar sesuatu yang penting hari ini," tulisnya.

Perkongsian pemuda itu menjadi tular, dengan rata-rata warga maya memuji kebaikan hatinya malah ramai yang terinspirasi dengan tindakan spontan pemuda itu.

Tidak kurang juga, ramai dalam kalangan netizen berhasrat memberikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan menghargai kebaikan hati pemuda tersebut.

Artikel Lain