DALAM ajaran Islam, perbuatan membunuh diri merupakan salah satu dosa besar yang dimurkai Allah.Ia berdasarkan nas dalam surah al-Isra' ayat 33: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut tidak mengeluarkan pelaku daripada Islam.Susulan itu, menjadi fardu kifayah kepada umat Islam lain untuk memandikan, mengapankan dan mengerjakan solat ke atas pelaku serta mengebumikannya di tanah perkuburan Islam.Mengulas mengenainya, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan, jenazah individu yang mati disebabkan perbuatan membunuh diri tidak perlu diasingkan dengan mayat-mayat lain di tanah perkuburan Islam."Mayatnya diuruskan seperti mayat-mayat umat Islam yang lain termasuk tempat diletakkan mayat tersebut di tanah perkuburan," jelasnya.Memetik Syarh Sahih al-Bukhari (3/349), Imam ibn Battal Rahimahullah telah berkata: ijma’ fuqaha dan ahli sunnah bahawa sesiapa yang membunuh diri tidak mengeluarkannya daripada Islam, disolatkan ke atasnya dan dia berdosa (atas perbuatan membunuh diri) seperti mana yang dikatakan oleh Imam Malik, dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam.ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah 5 sekeluarga selamat dikebumikan… Empat beranak bersemadi dalam satu liang lahadMengupas isu yang sama, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, penjarakan atau pengasingan kubur individu yang meninggal dunia perlu dilakukan berasaskan ijtihad atau tujuannya."Dalam kitab-kitab fiqh yang terkenal, terdapat fatwa yang menyatakan bahwa jenazah yang bunuh diri perlu diasingkan."Ia berdasarkan ijtihad, kalau sengaja nak asingkan memang tak boleh," ujar beliau.Kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor diasingkan dari yang lain. Beliau turut berkongsi sirah nabi berkaitan hutang yang mana Nabi Muhammad SAW mengajukan pertanyaan mengenai hutang sebelum melakukan solat ke atas jenazah."Jika jenazah mempunyai hutang, Nabi akan menolak untuk menunaikan solat tersebut tetapi Baginda membenarkan sahabat menunaikan solat ke atas jenazah."Tindakan itu bertujuan untuk memberi keinsafan kepada orang yang masih hidup supaya tidak melakukan sikap seperti jenazah."Jadi kena tengok dulu ijtihad dan maslahah untuk diasingkan daripada orang lain," tegas beliau.Perkara sama dilakukan terhadap kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor sehingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh.Berdasarkan hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, suspek dikebumikan berjauhan dari kubur orang awam yang lain.Ia berikutan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.Terbaharu dalam kejadian lima sekeluarga ditemukan maut di rumah mereka di Kuantan, Pahang, empat beranak yang menjadi mangsa bunuh dikebumikan dalam satu liang lahad.Manakala jenazah suspek yang berusia 32 tahun, dikebumikan berasingan kira-kira beberapa meter dari kubur ahli keluarganya dalam kawasan tanah perkuburan sama.