suria
mStar - Urban.Versatil

Jenazah 5 sekeluarga selamat dikebumikan… Empat beranak bersemadi dalam satu liang lahad

Jenazah lima sekeluarga berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating, Kuantan, pada petang Rabu.

JENAZAH lima sekeluarga yang maut dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, Kuantan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating, pada Rabu.

Jenazah Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dua cucunya Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, serta ibu dua kanak-kanak terbabit Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, dikebumikan dalam satu liang.

Sementara itu, jenazah suspek pula dikebumikan berasingan di tanah perkuburan sama kira-kira pukul 7.20 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik bongsu ada dalam bilik ketika kejadian bunuh... Ini kronologi ikut turutan siapa dicederakan dulu kes 5 sekeluarga maut

Terdahulu, empat jenazah dibawa ke Masjid Cerating untuk dimandi dan dikafankan, manakala jenazah suspek dibawa ke Masjid Sungai Ular untuk proses sama.

Selepas disolatkan, semua jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Pada pagi Selasa, negara digemparkan dengan kematian tragis lima sekeluarga dalam sebuah rumah, yang dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula apabila suspek yang berusia 32 tahun dipercayai menyerang isteri, ibu kandung serta dua anak perempuannya hingga mengakibatkan kematian sebelum dia bertindak membunuh diri.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan ia melibatkan masalah keluarga atau kewangan. 

 

Artikel Lain