suria
mStar - Urban.Versatil

Berseluar dalam sambil basuh periuk dalam tandas... Lelaki berlakon jadi bibik elak ditangkap khalwat!

Perbuatan khalwat adalah satu kesalahan jenayah syariah yang boleh disiasat, ditangkap, dan didakwa di Mahkamah Syariah. -Gambar hiasan

DEMI mengelak daripada dicekup pihak berkuasa kerana disyaki berkhalwat, seorang lelaki sanggup berlakon sedang mencuci periuk di dalam tandas sebuah rumah jenis berkembar di Kluang, Johor.

Hasil aduan orang awam, pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membuat serbuan itu di rumah milik seorang wanita yang didakwa masih bujang pada Rabu malam.

"Penguat kuasa ketuk pintu depan dengan kuat tapi tak ada yang menyahut. Lapan minit kemudian, barulah pintu dibuka oleh seorang wanita berpakaian baju kelawar dan tidak bertudung.

"Penguat kuasa membuat pemeriksaan sekali harung ke dalam dua ruang bilik tetapi tak jumpa sesiapa. Penguat kuasa menonong ke bahagian dapur tetapi tidak menemukan sesiapa juga.

"Pintu tandas di bahagian dapur dalam keadaan rapat tapi tidak berkunci dan nampak terang. Penguat kuasa tolak pintu dan terjojol seorang lelaki memakai seluar dalam dan t-shirt, duduk mencangkung sedang membasuh periuk besar," demikian menurut kenyataan di JAINJ di Facebook.

Susulan itu lelaki terbabit diminta keluar dan dilihat dalam keadaan terkejut apabila menyedari kehadiran penguat kuasa, termasuk anggota wanita yang menyertai operasi tersebut.

Hasil soal siasat mendapati pasangan itu bukan suami isteri.

Lelaki itu berstatus bujang dan bekerja di Kluang, manakala wanita juga berusia 30-an dan masih 'anak dara' berdasarkan rekod.

"Apabila ditanya si lelaki kenapa datang ke rumah tu, dia jawab untuk bantu wanita basuh periuk. Rajin betul datang basuh periuk malam-malam buta.

"Pemeriksaan di dalam bilik utama didapati cadar dah berkeronyok, selimut nipis dah bergumpal dan bantal berselerak," katanya lagi.

Pasangan berkenaan memaklumkan kepada pihak JAINJ, mereka merancang untuk bernikah dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Namun, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bukan kali pertama berlaku.

Mereka kemudiannya ditahan kerana disyaki berkhalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Artikel Lain