suria
mStar - Urban.Versatil

Sambutan Tahun Baharu Cina bertukar tragedi... Lelaki putus kaki kiri terkena letupan bunga api

Mangsa bermain bunga api jenis 'shoot cake 4(D) 16 shot (premium)' di hadapan rumahnya pada lewat malam Selasa. -Foto PDRM

SEORANG lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan serius sehingga kaki kirinya putus akibat letupan bunga api, dalam kejadian di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, dekat Segamat, lewat malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika mangsa bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) di hadapan rumahnya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, bunga api berkenaan tiba-tiba meletup dan menyebabkan kaki kiri mangsa cedera parah. 

"Bunga api tersebut meletup dan mangsa cedera parah. Mangsa kemudian dikejarkan ke Zon Merah Hospital Segamat untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa putus kaki kiri bawah lutut dan kini dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya hanya menggunakan bunga api yang dibenarkan di kawasan terbuka dan selamat. 

 

Artikel Lain