suria
mStar - Urban.Versatil

Ada kesan kelar pada mangsa! Suspek bunuh 4 ahli keluarga sebelum cederakan diri sendiri

Keadaan di sekitar lokasi lima sekeluarga ditemukan mati akibat dibunuh di Taman Cherating Damai, Kuantan. -Foto Bernama

TERDAPAT mangsa yang ditemukan dengan kesan kelar, demikian menurut polis ketika memaklumkan tentang perkembangan terkini siasatan kes lima sekeluarga ditemukan maut di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, Kuantan, Pahang pada pagi Selasa.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mereka yang maut ialah dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun selain ibu bapa serta nenek mereka.

Katanya, dua kanak-kanak itu ditemukan di dalam bilik bersama ibu bapa mereka yang berusia 32 dan 28 tahun.

Sementara itu nenek mereka yang berusia 55 tahun dijumpai di dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima beranak ditemukan tidak bernyawa dalam rumah, dipercayai mangsa bunuh

Tambah Yahya, kejadian bermula apabila lelaki berusia 32 tahun dipercayai menyerang isteri, ibu kandung serta dua anak perempuannya hingga mengakibatkan kematian sebelum dia turut mencederakan diri.

Polis menerima maklumat mengenai insiden daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga ahli keluarga dan tinggal di rumah tersebut.

Buat masa ini polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Berdasarkan maklumat awal, difahamkan lelaki berkenaan baru berpindah ke rumah keluarganya kira-kira sebulan lalu selepas berhenti kerja di Selangor dan memulakan pekerjaan baharu di daerah Kuantan sejak minggu lalu.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan melibatkan masalah keluarga atau kewangan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Lain