suria
mStar - Urban.Versatil

Kecoh video lelaki dera anak tiri, suspek rupanya sudah didakwa Disember tahun lalu

Tangkap layar video yang tular di media sosial.

LELAKI yang didakwa mendera anak tirinya dalam satu video tular sudah ditahan dan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis pada Khamis mengesan video berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Threads milik penyanyi rap Caprice iaitu @capricedaddycap.

“Semakan mendapati polis sudah menerima laporan berhubung kejadian itu lebih awal iaitu pada 19 Disember 2025, pukul 1.48 tengah hari, daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu mangsa.

“Pengadu memaklumkan melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek melakukan penderaan mental dan fizikal terhadap anaknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Fadil, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan sekitar Setapak, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa buat laporan polis anak maut tersedak susu di taska, curiga staf beri alasan rakaman CCTV hilang

Susulan laporan tersebut, katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pada 20 Disember 2025, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga suami pengadu dan bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan.

“Suspek kemudiannya didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025,” katanya.

Fadil menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan, khususnya yang melibatkan kanak-kanak.

Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan seorang lelaki berulang kali memukul, menendang dan mengarahkan seorang kanak-kanak berlari dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Setapak.

Artikel Lain