suria
mStar - Urban.Versatil

Niat sedekah 1 Ramadan tak kesampaian, wanita disambar api ketika memasak! Beranikan diri cabut kepala tong gas

Kisah Sue meraih perhatian ramai selepas ia dikongsi menerusi Thread.

HASRAT seorang wanita mahu memasak dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada orang ramai bertukar tragedi apabila berlaku letupan tong gas di rumahnya di Setia Alam, Selangor, pada Khamis.

Mangsa, seorang akauntan sambilan yang dikenali sebagai Sue, berkata dia mengalami kecederaan ringan akibat disambar api dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu.

"Saya baru siap goreng 30 biji telur mata. Kemudian nak masak mi goreng. Belum siap memasak, tiba-tiba bunyi macam api menyambar. Terus saya menjerit.

"Lengan saya disambar api, jadi saya tepuk-tepuk badan sampai ia padam. Ikutkan nak lari, tapi takut lagi teruk meletup. Jadi saya beranikan diri cabut kepala tong gas dan guna pemadam api sehingga ia padam.

Sue bersyukur anak-anak tiada di rumah sewaktu kejadian.

"Saya pergi ke unit kecemasan hospital selepas berbuka. Mujurlah saya pakai lengan panjang, jadi melecur tak teruk.

"Cuma melecur di tangan dan rambut terbakar sikit. Badan pun sakit-sakit," ujarnya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Menurut ibu tunggal itu, dia bersyukur empat anaknya tiada di rumah sewaktu kejadian itu berlaku.

Kisah Sue meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi dugaan 1 Ramadan yang dialaminya menerusi aplikasi Threads.

Sue mengalami kecederaan ringan sahaja.

"Sebelum ini saya dah post di Threads tentang rancangan untuk agih juadah berbuka. Ramai yang nak, jadi saya buatlah pada 1 Ramadan. Tapi berlaku pula kejadian ini.

"Telur dadar tu tak boleh dimakan sebab dah kena debu pemadan api. Saya pun keluar beli makanan lain untuk berbuka selepas kejadian itu.

"Tapi insya-Allah, rancangan untuk agih juadah tu akan diteruskan pada tarikh lain," ujar Sue yang kini sedang berjinak-jinak dalam perniagaan katering.

Untuk rekod, Sue juga merupakan seorang pencipta kandungan di platform TikTok.

Artikel Lain