suria
mStar - Urban.Versatil

Nak berbuka puasa di masjid tapi malu, terasa macam meminta-minta... Tak payah segan boleh cuba 6 tip berguna ini

Ramai yang mengambil peluang untuk berbuka puasa di masjid. -Gambar hiasan AI

KEBANYAKAN masyarakat masa kini lebih gemar menyerbu program iftar bufet hotel mahupun restoran tumpuan untuk berbuka puasa. 

Namun, bagi segelintir individu, masjid merupakan lokasi paling tenang untuk menghayati keberkatan Ramadan selain dapat merasai keseronokan berkongsi juadah bersama jemaah lain.

Namun malangnya, mereka sering dipandang serong sehingga ada berasa rendah diri dan malu untuk berbuka di surau atau masjid kerana bimbang disalah anggap hanya mahu menikmati makanan percuma.

Mengulas mengenai stigma tersebut, seorang wanita yang dikenali sebagai Nurfarhana tampil berkongsi pengalaman peribadinya yang sudah mengamalkan tradisi berbuka puasa di masjid selama enam tahun berturut-turut.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia juga tidak terlepas daripada perasaan segan dan malu untuk beratur mengambil hidangan disediakan pihak masjid.

"Tipulah kalau kata tak rasa malu pada mulanya. Terasa macam meminta-minta, kena beratur ambil makanan, tapi buang rasa malu untuk didik diri dengan anak-anak," ujarnya di Thread.

Antara juadah yang disediakan semasa majlis iftar di masjid. -Foto Thread Nurfarhana

Antara juadah yang disediakan semasa majlis iftar di masjid. -Foto Thread Nurfarhana

Tambah wanita ini, perkara paling menyeronokkan adalah dia sentiasa bertukar-tukar lokasi masjid.

"Dalam seminggu, lima hari akan berbuka di masjid sama manakala dua hari lagi akan tukar masjid lain.

"Masjid untuk 10 malam terakhir adalah di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah," luahnya yang turut bersahur dan bertahajud di masjid tersebut.

Pernah melalui situasi makanan berbuka habis, wanita ini tidak melatah sebaliknya menenangkan anak-anaknya tentang rezeki pada hari tersebut.

Namun tanpa diduga, terdapat beberapa keluarga yang berkongsi makanan sehingga akhirnya menjadi banyak dan cukup untuknya dan anak-anak.

"Ada hari lauk tawar, ada hari lauk sedap sangat... kadang kala dapat lauk kegemaran anak-anak.

"Apabila anak cuba nak berbunyi, masa inilah tugas kita mengajar dan mendidik mereka tentang bersyukur serta reda," tambahnya yang berharap dapat peluang berbuka di masjid pada tahun ini.

Bagi yang ingin berbuka di masjid, ini beberapa tip yang boleh dijadikan panduan seperti saranan Nurfarhana.

1. Tepis perasaan malu dan rendah diri

Buang tanggapan bahawa berbuka di masjid itu seperti 'meminta-minta'.

Sebaliknya, niatkan langkah itu sebagai usaha untuk mendekatkan diri dengan rumah Allah dan mendidik jiwa serta keluarga.

2. Bawa juadah tambahan untuk dikongsikan

Bagi mengurangkan rasa segan ketika beratur, bawa sedikit makanan sendiri dari rumah.

Antara makanan atau juadah yang boleh dibawa adalah kuih-muih atau buah-buahan.

Kemudian serahkannya kepada urus setia atau terus berkongsi dengan jemaah lain.

Kuih muih boleh dibawa sebagai pertukaran juadah antara jemaah. -Foto Thread Nurfarhana

Kuih muih boleh dibawa sebagai pertukaran juadah antara jemaah. -Foto Thread Nurfarhana

3. Amalkan pertukaran makanan

Membawa buah tangan sendiri bukan sahaja menambah keberkatan dengan memberi makan kepada orang berbuka, ia juga membuatkan kita rasa lebih selesa untuk bersama dalam jemaah.

4. Bertukar-tukar lokasi iftar

Jangan terhad pada satu masjid sahaja. Anda dinasihatkan untuk mengunjungi masjid berbeza.

Bukan sahaja dapat menikmati hidangan berbeza, malah dapat merasai pengalaman dan suasana kariah yang berlainan.

5. Pilih masjid strategik untuk 10 malam terakhir

Pilih masjid yang menyediakan kemudahan lengkap untuk beriktikaf, termasuk urusan sahur dan solat tahajud berjemaah bagi memaksimumkan ibadah di penghujung Ramadan.

6. Jadikan medan didik anak 

Pelbagai pengalaman dapat diperoleh daripada amalan iftar di masjid.

Maklumlah, adakalanya makanan tidak menepati selera dan kadang kala akan habis lebih awal.

Oleh itu, gunakan peluang yang ada untuk mengajar anak-anak bahawa rezeki tidak selalunya mengikut selera kita. 

Ajarkan mereka tentang rasa reda dan bersyukur dengan apa yang dihidangkan.

Artikel Lain