suria
mStar - Urban.Versatil

Nak sambung puasa atau dikira tak sah kalau mandi wajib selepas azan Subuh? Umat Islam kena faham betul-betul

Mandi wajib perlu dilakukan dengan tertib. -Gambar hiasan

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, pasangan suami isteri pasti berasa bimbang mengenai isu puasa disebabkan kelewatan mandi junub selepas terbit fajar.

Paling membimbangkan, apabila ada yang bertindak mengeluarkan 'fatwa' sendiri dengan meletakkan haram berpuasa kerana lewat mandi wajib.

Anda yang masih ragu mengenainya, ini penjelasan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang turut berkongsi beberapa pandangan ulama mengenai hukum mandi dan status puasa bagi orang yang berjunub sehingga terbit fajar.

Hukum mandi junub selepas terbit fajar pada bulan Ramadan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar adalah diharuskan dan ia tidak membatalkan puasa.

Malah tidak ada halangan untuk orang yang berjunub untuk melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar.

Ini berdasarkan dalil hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (1927) dan Muslim (1106). Hadis ini ialah hadis Muttafaq ‘alaih.

Dan hadis Abdurrahman bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah berkenaan dengan mandi junud selepas waktu fajar, maka Aisyah dan Ummu Salamah berkata adalah Nabi SAW dalam keadaan berjunub disebabkan selain dari mimpi, kemudian baginda meneruskan puasanya.

Riwayat al-Bukhari (1825) dan Muslim (1109)

Mantan Syeikhul Azhar, almarhum Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud menyebut dalam kitab Fatwa Abdul Halim Mahmud menyebut sesungguhnya mandi junub pada siang hari Ramadan adalah harus dan tidak ada halangan padanya, akan tetapi boleh menjadi wajib jika sekiranya ianya membawa kepada melewatkan solat Subuh dan luputnya waktu solat.

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebu sesiapa yang berjunub pada malam hari, kemudian dia berpuasa, maka puasanya sah, dan tidak ada qada puasa ke atasnya.

Inilah pendapat yang jumhur berdasarkan hadis Aisyah dan Ummu Salamah tersebut.

Imam al-Syaukani berkata ia adalah pandangan jumhur, dan Imam Nawawi menetapkan bahawa perkara tersebut telah diputuskan secara ijma’.

Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie menyebut sekiranya bersetubuh sebelum fajar, maka mengeluarkan (berhenti setubuh) bersamaan dengan waktu terbitnya fajar, dan keluar mani, tidak membatalkan puasanya. Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/184).

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim (3/165) menyatakan, yang afdal adalah melakukan mandi junub sebelum fajar.

Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas Subuh seperti pendapat majoriti ulama dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/307-308).

Berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil serta pandangan ulama, maka hukum mandi junub selepas terbit fajar adalah harus di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama.

Begitu juga hendaklah diteruskan berpuasa kerana ia sama sekali tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

Artikel Lain