suria
mStar - Urban.Versatil

Lepas dua malam tak balik rumah, isteri kerap meracau seperti dirasuk... Sebut satu nama lelaki cukup dikenali

Golongan wanita sering menjadi sasaran ilmu hitam. -Gambar hiasan AI

SEJAK kecil Rosham (bukan nama sebenar) sudah memasang impian untuk menjadi seorang jurutera dalam industri minyak dan gas.

Selepas bertahun-tahun menimba ilmu dan memerah keringat, cita-citanya tercapai dan dia mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun.

Tidak lama kemudian, dia dan isteri dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. 

Meskipun menjalani kehidupan yang sederhana, namun dia tetap bahagia kerana mempunyai kerjaya yang stabil, isteri penyayang bersama anak yang membesar sihat. 

Segalanya tampak sempurna sehinggalah seorang rakan lama, Zarul, ditukarkan ke unit yang sama.

Sebagai rakan lama, pertemuan semula itu disambut baik sehingga persahabatan kembali akrab.

Hampir dua tahun hubungan itu terjalin tanpa sebarang syak wasangka sehinggalah suatu hari, Zarul yang masih bujang tiba-tiba berkongsi tentang ‘kejayaan’ menundukkan hati isteri orang.

Pada awalnya Rosham hanya menganggap ia cerita kosong. 

Pemujaan sering dilakukan bagi menambat hati individu yang diingini. -Gambar hiasan

Pemujaan sering dilakukan bagi menambat hati individu yang diingini. -Gambar hiasan

Namun pada suatu malam, ketika pejabat hampir lengang dan lampu koridor berkelip-kelip, Zarul bersuara perlahan.

"Aku tak pernah gagal," katanya sambil tersenyum nipis. 

Rosham hanya terkesima sebelum terus meminta diri selepas mendengar pengakuan daripada Zarul bahawa ilmu yang diamalkan itu adalah warisan.

"Ilmu ni turun-temurun. Pukau… bukan semua orang nampak," bisiknya diiringi ketawa sinis.

Susulan daripada itu, jantung Rosham berdegup kencang.

Dia hanya memberi reaksi ketawa kecil bagi menepis rasa tidak sedap hati sambil cuba berlalu pergi.

Namun langkahnya terhenti apabila sahabat karib dari zaman matrikulasi itu terus bercerita tentang ayat yang dibaca dan air jampi yang berjaya memikat isteri orang dalam sekelip mata. 

Ketika itu, bulu roma Rosham meremang dan mula mengimbau peristiwa dia memperkenalkan Zarul pada isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mata kabur, seram sejuk... Petugas imigresen cuba dipukau, jumpa tangkal dalam pasport warga asing! Mulut ligat baca mantera

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan bayar sewa dan bil utiliti, penyewa warga asing main bomoh... 'Owner' rumah berlembut, jadi 'lembu dicucuk hidung'

Rasa kesal mula menyelubungi diri kerana dia menurut kemahuan tersebut tanpa berfikir panjang.

Selang beberapa bulan, dia mula melihat perubahan pada isteri dan rumah tangganya.

Isteri yang disayangi mula melupakan tanggungjawab, lebih menghairankan apabila kerjaya sebagai seorang setiausaha memerlukan isterinya pulang lewat malam.

Kemuncaknya, isterinya langsung tidak pulang selama dua malam dengan alasan mesyuarat.

Rosham tidak mampu lagi berdiam diri, dalam keadaan terdesak, dia mendapatkan bantuan seorang perawat perubatan Islam. 

Selepas mendengar cerita, perawat itu menitipkan pesanan.

"Bawa isteri sekali. Kalau ada gangguan, rawatan mesti dibuat bersama," tegas perawat tersebut.

Tiga hari pertama rawatan, isterinya menunjukkan perubahan, kembali lembut dan menguruskan rumah tangga seperti biasa, membuatkan dia menyangka tiada lagi gangguan berlaku.

Namun tubuh yang comel dan senyuman munggil tidak lagi kelihatan, isterinya bertukar cengkung serta kelihatan kusam kerana sering mengalami demam panas pada waktu malam.

Minyak pengasih sering digunakan untuk memikat individu yang diingini. -Gambar hiasan

Minyak pengasih sering digunakan untuk memikat individu yang diingini. -Gambar hiasan

Situasi berlarutan sehingga senja hari keempat rawatan, isterinya tiba-tiba terduduk di ruang tamu dengan keadaan mata yang terbeliak memandang siling ketika azan Maghrib berkumandang.

"Dia panggil… dia panggil aku, dia suruh datang sekarang," bisik isterinya dengan suara yang kasar dan lantang.

Dalam keadaan kelam kabut, lampu rumahnya tiba-tiba terpadam.

Kelibat isterinya kelihatan berdiri betul-betul di belakangnya dengan wajah pucat sambil tersengih.

Bimbang situasi menjadi semakin buruk, Rosham segera menghubungi ustaz yang merawat isterinya.

Rawatan diteruskan dengan bacaan ayat suci bergema di setiap sudut ruang tamu.

Tiba-tiba isterinya menjerit sekuat hati sebelum muntah darah di hadapan perawat. 

Tubuhnya menggigil hebat dan dalam keadaan separa sedar, dia menyebut satu nama berulang kali.

"Zarul… Zarul jangan tinggal aku… jangan, aku sedang sakit," rintih isterinya.

Rawatan perubatan Islam membantu memulihkan gangguan yang berlaku pada seseorang. -Gambar hiasan AI

Rawatan perubatan Islam membantu memulihkan gangguan yang berlaku pada seseorang. -Gambar hiasan AI

Perawat memandang tepat ke arah Rosham sambil menyatakan gangguan yang berlaku bukanlah calang-calang.

"Ini bukan sekadar gangguan biasa. Isteri kamu terkena 'ilmu pukau isteri'. Orang yang buat adalah orang yang rapat dengan kamu," tambah ustaz lagi.

Malam yang menyakitkan kembali tenang, namun isteri Rosham masih terus dibelenggu.

Rawatan diteruskan hampir dua minggu dengan setiap malam dipenuhi jeritan, tangisan dan muntah darah.

Adakalanya bau hanyir memenuhi ruang tamu.

Akhirnya, dengan izin Tuhan, isterinya kembali pulih. 

Tanpa berlengah, Rosham membuat aduan rasmi kepada pihak syarikat sehingga membuatkan siasatan dalaman dijalankan.

Hasil siasatan mendapati Zarul mempunyai lima aduan berhubung gangguan terhadap isteri orang dan dia ditukarkan serta-merta.

Malam sebelum berpindah, Rosham menerima mesej daripada Zarul.

"Aku tak pernah paksa sesiapa," ujar Zarul.

Artikel Lain