suria
mStar - Urban.Versatil

Sudah lama bercinta tapi hubungan tak ke mana? Cuba semak sebenarnya si dia sayang atau hanya selesa dengan anda

Ramai yang terperangkap dalam hubungan toksik. -Gambar hiasan AI

RAMAI yang tidak dapat membezakan antara situasi 'selesa' dan 'sayang' sehingga terperangkap dalam hubungan toksik dengan pasangan.

Lebih mengelirukan apabila si dia bersikap manis, mengambil berat, namun dalam masa sama tidak pernah membawa hubungan ke tahap lebih serius.

Jika anda mula berasa diri seperti tempat persinggahan, ini lima petanda yang menggambarkan sikap pasangan seperti dikongsikan Erna Arshad di Facebook.

Baginya, perasaan selesa adalah apa yang pasangan peroleh daripada anda manakala sayang merupakan perkara yang sanggup diberikannya.

1. Dia datang apabila perlukan anda

Lelaki yang cuma selesa akan menjadikan anda sebagai tempat persinggahan emosi contohnya ketika dia sedang stres, bosan atau sunyi.

Namun apabila dia hidup tenang, gembira atau berjaya, anda pasti tidak dapat berhubung mahupun menemuinya.

2. Hubungan tidak pernah ada kemajuan

Sekiranya pasangan tidak membicarakan masa depan atau merancang kehidupan bersama walaupun hubungan sudah bertahun-tahun, ia bermakna dia tidak bersedia memikul tanggungjawab.

Berkemungkinan dia hanya inginkan perhatian anda dan bukan menyayangi.

Sokongan daripada pasangan amatlah bermakna. -Gambar hiasan AI

Sokongan daripada pasangan amatlah bermakna. -Gambar hiasan AI

3. Anda tidak pernah masuk dunia sebenar pasangan

Hubungan sudah terjalin sekian lama, tapi perihal anda tidak pernah dikongsikan bersama keluarga dan rakan.

Sekiranya anda tidak wujud dalam kehidupan luarannya, sebaiknya 'tarik diri' daripada hubungan yang terjalin.

Pasangan yang betul-betul menyayangi, akan bangga untuk memperkenalkan anda kepada dunia.

4. Usaha dia sangat minimum

Jangan pelik kalau pasangan mahu anda sentiasa menemaninya tapi menghilang diri apabila diperlukan.

Itu bermakna dia hanya selesa bersama anda dan bukanlah tanda sayang.

Sebagai contoh, pasangan anda berasa berat hati ingin menjemput dan sering memberi alasan jauh selain berkira untuk mengubah jadualnya.

Orang yang benar-benar sayang akan sanggup buat perkara yang tidak selesa demi kebahagiaan pasangannya.

5. Dia masih mencari pilihan lain

Situasi ini paling membimbangkan kerana si dia masih mencari pasangan meskipun telah menjalin hubungan dengan anda.

Ia membuktikan anda hanya tempat persinggahan dan bukanlah 'destinasi' terakhir.

Oleh itu jangan terus terperangkap dalam hubungan toksik kerana selesa bermaksud segalanya berpusat pada pasangan manakala 'sayang' berpusat pada anda.

Artikel Lain