suria
mStar - Urban.Versatil

“Memang ada sabotaj”– Kakak Ella dakwa ada bukti CCTV, siasatan masih dilakukan

Kakak Ella pula bersuara mengenai Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen.

KEKECEWAAN peminat terhadap Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella masih belum reda walaupun acara itu sudah seminggu berlalu.

Susulan isu kualiti bunyi yang didakwa kurang memuaskan di tingkat tiga stadium, kakak kepada Ella iaitu Jojie Aminuddin pula tampil memberikan penjelasan.

Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin, 61, tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj sehingga menyebabkan masalah teknikal pada malam berkenaan.

Kakak Ella dakwa ada rakaman CCTV pelaku.

“Memang ada unsur sabotaj di tingkat tiga stadium. Kami sedang menyiasat. Bukti ada di CCTV. Kita tak nampak, tapi Allah nampak,” katanya.

Dia meninggalkan kenyataan tersebut menerusi ruangan balas sebuah hantaran pengguna di Threads yang mengimbau semula insiden berkenaan dan mendakwa tidak dapat mendengar suara penyanyi itu dengan jelas.

Dalam pada itu, Jojie turut meluahkan rasa terkilan atas apa yang berlaku dan memohon maaf kepada peminat atas kesulitan yang tidak dapat dielakkan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah sistem bunyi, penganjur Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella buat laporan polis

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di Threads, penonton kecam sistem bunyi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella... “Macam pembesar suara sekolah”

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihaknya sedang meneliti setiap sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, Jojie menegaskan kejadian tersebut tidak membabitkan pihak penganjur memandangkan mereka sudah lama bekerjasama.

“Minta maaf berkenaan isu itu, kami juga hairan. Semua sudah diperiksa dengan terperinci. Takkanlah pihak EO (penganjur) nak buat benda yang menjejaskan nama mereka.

Ella sudah lama berkerjasama dengan pengajur yang sama.

“Sudah 10 konsert kami bergabung dengan EO yang sama,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan ketidakpuasan hati pengunjung Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang mendakwa berdepan masalah kualiti sistem bunyi di di tingkat tiga. 

Susulan dakwaan tersebut, Ella bersama pihak penganjur telah membuat laporan polis berhubung gangguan sistem bunyi pada acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 14 Februari lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain