suria
mStar - Urban.Versatil

Kecoh di Threads, penonton kecam sistem bunyi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella... “Macam pembesar suara sekolah”

Konsert Ella menerima kecaman melibatkan sistem bunyi yang dikatakan kurang jelas.

PENGANJURAN Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam Sabtu mencetuskan pelbagai reaksi daripada penonton. 

Walaupun penyanyi rock itu berjaya memukau sebahagian besar penggemarnya, namun terdapat beberapa rungutan yang diluahkan oleh penonton yang hadir terutama mereka yang membeli tiket dengan harga lebih rendah.

Rata-rata penonton yang berada di kawasan tingkat atas stadium (tiket bronze) meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti sistem bunyi pada konsert tersebut. 

Antara komen di Threads yang kurang puas hati dengan konsert Ella.

Rata-rata mendakwa tidak dapat mendengar dengan jelas ketika Ella sedang rancak mengadakan persembahan. 

Malah ramai di antara mereka dilihat yang dikatakan menjerit ‘tak dengar’ sewaktu persembahan sedang berlangsung. 

Situasi itu mula mendapat perhatian di platform media sosial, khususnya di aplikasi Threads selepas konsert tersebut tamat. 

Beberapa netizen berkongsi pengalaman mereka, mengungkapkan rasa kecewa dengan kemudahan yang disediakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak uar-uarkan lagi banyak pahala” - Ella rupanya derma secara senyap, puluhan terima bantuan bulanan tak tahu siapa pemberi sebenar

ARTIKEL BERKAITAN: “Biarkan sahaja” – Ella terbuka terima kecaman, tidak kisah dibandingkan dengan artis lain

“Tak tahulah kenapa, aku pekak ke semalam sebab pembesar suara tak jelas sangat dekat konsert Ella, saya kecewa. 

"Kami tahu tiket kami paling murah, tapi kenapa buat macam ni pada kami? Sound system bergema teruk. Nasib baik blok 313 semua function menyanyi bersama.

“Maaf Ella, cuba bertahan duduk sehingga lagu akhir namun pada pukul 10.40 malam, saya dah balik. Skrin besar tapi bunyi macam pembesar suara sekolah,” luah netizen.

Walau bagaimanapun masih terdapat peminat yang memberi sokongan kepada Ella dan berharap pihak penganjur dapat memperbaiki masalah teknikal itu pada masa akan datang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain