suria

“Kalau tak uar-uarkan lagi banyak pahala” - Ella rupanya derma secara senyap, puluhan terima bantuan bulanan tak tahu siapa pemberi sebenar

Ella aktif membantu golongan memerlukan sejak sebelum kahwin.

DALAM diam, penyanyi rock, Ella aktif melakukan kerja-kerja kemanusiaan tanpa diketahui umum.

Menurut suaminya, Azhar Ghazali, isterinya itu sudah lama aktif dalam pelbagai misi bantuan namun memilih untuk tidak menghebahkannya.

“Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mereka yang tinggal di khemah-khemah pelarian perang Syria.

Azhar ketika berkongsi mengenai aktiviti sumbangan Ella yang tidak pernah diuar-uarkan.

“Dia juga selalu bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk menyumbang idea dan membimbing pelajar sekolah seni, selain menyumbang alatan muzik, membantu gelandangan dan menghulurkan makanan.

“Cuma benda-benda ini kita tak umumkan,” katanya kepada mStar.

Azhar berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang diadakan di Stadium Bukit Jalil,  Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Bercerita lanjut, Azhar mendedahkan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, turut menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan artis dan individu dalam kesempitan, namun enggan menghebohkan perkara itu kerana bimbang menjejaskan privasi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Jepun teruk dikecam netizen, diejek hodoh serta terima ugutan bunuh lengkap tarikh kematian

ARTIKEL BERKAITAN: Video reunion tular, netizen bandingkan wajah Nicholas Saputra dengan rakan sekolah

“Ada juga bantuan kepada rakan-rakan artis secara peribadi, mereka yang kesempitan, termasuk senior-senior sewaktu dia mula bermain muzik dulu.

“Orang yang menerima itu mungkin malu. Jadi kita kena jaga sensitiviti. Kita tak boleh kongsi semua perkara nanti privasi mereka pula terjejas,” jelasnya.

Tambah Azhar, Ella mempunyai senarai panjang penerima bantuan bulanan dan kebanyakannya tidak tahu siapa sumber yang memberikan duit tersebut

“Dia ada senarai orang-orang yang dia hulurkan sumbangan setiap bulan. Puluhan orang, tak kira artis atau orang biasa. 

“Tapi perkara itu tak perlulah diumumkan, cuma saya jawab sebab tadi ada yang bertanya.

Ella ketika di sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen.

“Dalam senarai itu termasuk orang susah, ibu bapa yang ada anak Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar. Semua ini tak tahu sumbangan itu daripada Ella. Dia bagi secara konsisten,” katanya.

Ketika ditanya mengapa memilih untuk merahsiakan kerja amalnya, Ella menjelaskan dia lebih selesa melakukan perkara itu tanpa sebarang publisiti.

“Kalau tak uar-uarkan, lagi banyak pahala,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella akan berlangsung pada 14 Februari tahun depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiket akan mula dijual bermula 8 Disember ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain