suria

Idzham Ismail bertuah dapat solat di Raudah hampir sejam

Idzham syukur dapat rezeki berada di Raudah hampir satu jam.

PELAKON Idzham Ismail berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika menunaikan ibadah umrah apabila berpeluang berada di Raudah hampir sejam.

Menyifatkan pengalaman itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka, Idzham atau Muhammed Idzham Ismail, 37, berkata, dia sepatutnya memasuki Raudah pada jam 3.40 pagi seperti yang tertera dalam aplikasi Nusuk, namun hanya terjaga lima minit sebelum waktu ditetapkan.

“Saya punya Nusuk pukul 3.40 pagi dan saya bangun 3.35 pagi. Saya terus gerak dan dalam hati saya berniat, ‘Ya Allah, kalau aku layak nak masuk dan solat betul-betul di hadapan, permudahkanlah,’” katanya.

Idzham bersyukur dengan setiap rezeki pemberian Allah buatnya.

Perkara itu dikongsi Idzham menerusi hantaran di Instagram pada petang Rabu.

Bagaimanapun, sebaik bertemu mutawif, Ustaz Iqbal, dia berdepan situasi tidak dijangka apabila kod QR Nusuk yang pada awalnya berwarna hijau tiba-tiba bertukar hitam, menandakan ia sudah tamat tempoh.

Namun takdir Allah mengatasi segalanya apabila seorang jemaah lain tidak dapat hadir, sekali gus memberi ruang untuk Idzham menggunakan kod QR tersebut bagi memasuki Raudah.

Menceritakan detik itu, Idzham melangkah masuk dengan penuh rasa syukur, mengingati kunjungan pertamanya dahulu yang hanya membolehkannya berada di Raudah selama lima minit sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kali jumpa tapi buang masa, Idzham Ismail tak mahu lagi ada hubungan cinta

ARTIKEL BERKAITAN: Idzham Ismail sukar cari pengganti, bekas isteri dah letak standard terlalu tinggi

“Lepas masuk, saya niat… ‘Ya Allah, kali pertama datang hanya dapat lima minit saja dalam Raudah. Kalau kena tarik, aku reda. Aku pergi.’

“Aku nak solat banyak kali tanpa dihalau dan tenang ya Allah,” ujarnya.

Tidak menyangka doanya dimakbulkan, Idzham berkata dia dapat beribadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan sepanjang berada di ruangan itu.

“Betul Allah bagi lagi… saya solat, tak dihalau, duduk di saf depan, solat lagi. Lepas solat pun tak dihalau,” katanya.

Hampir satu jam Idzham dapat beribadah di Raudah.

Katanya, pengalaman berharga itu menjadi peringatan besar tentang ketentuan dan keluasan rezeki yang telah ditetapkan Allah.

“Dekat sini Allah tunjuk kuasa-Nya… Allah nak bagi, Allah akan bagi walau ada rintangan apa sekali pun.

“Jangan risau tentang siapa buat kita, rezeki kita sebab Allah dah janjikan rezeki untuk setiap hamba-Nya. Tak perlulah kita bertikam sesama manusia. Rezeki Allah bagi, insya-Allah,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia