PENYANYI yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Khadijah Ibrahim prihatin dengan nasib para penggiat seni tanah air yang masih kurang menerima perhatian dalam aspek bantuan dan sokongan kewangan.
Menurut Khadijah, 65, dia sering mendengar berita mengenai bantuan yang disalurkan ke pelbagai sektor, namun golongan anak seni jarang diberi perhatian sedang mereka memainkan peranan besar dalam memartabatkan budaya dan hiburan negara.
“Kita lihat apa yang berlaku dalam industri, orang-orang kita (anak seni) perlu bantuan. Jadi kadang-kadang bila kita dengar bantuan dihantar ke sana dan sini, bagaimana pula nasib anak-anak seni?

Khatijah dan Freddie (tengah) ketika sidang media Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity.
“Golongan anak seni perlu diberi perhatian dan menerusi acara konsert amal, kita mahu mencari dana bantuan menerusi penjualan tiket dan meja makan malam.
“Kalau diberi dana, satu dunia pun kita nak bawa konsert ini. Tapi, Karyawan tidak mendapat dana. Kami kena cipta sendiri. Datuk Freddie tahu, bagaimana mencabar mencari dana kerana banyak prosesnya,” katanya kepada mStar.
Khadijah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity yang diadakan di Frasers Tower, Petaling Jaya pada petang Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Khadijah Ibrahim kemalangan di Sabah, alami kecederaan ringan
ARTIKEL BERKAITAN: Khadijah Ibrahim mahu keluarganya selesaikan isu cucu cabul sepupu tanpa babit orang luar
Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez menegaskan bantuan yang diusahakan bukan hanya untuk artis dan pemuzik tetapi turut meliputi wartawan serta semua tenaga di belakang tabir.
“Bukan hanya pemuzik dan artis tetapi semua kita bantu sesiapa saja terbabit dalam industri dan menyokong industri termasuk wartawan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 27 Disember ini.
Konsert itu akan menggabungkan legenda muzik tanah air antaranya Khadijah sendiri, Datuk Ito Blues Gang, Mariam Ahmad, Helen Velu, Kopratasa, Datuk Andre Goh, serta penampilan khas hero gitar legenda, Kid, Man Kidal, Rosli Mohalim, Shahrul Eka, dan Simon Carefree.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


