suria

WHAM himpunkan rakan artis, semangat ‘lawan tetap lawan’ Pyanhabib terus jadi ingatan

Memori Suara Pyanhabib himpunkan ramai selebriti ternama.

PROGRAM Memori Suara Pyanhabib anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berlangsung penuh emosi apabila rakan selebriti, wartawan dan peminat berhimpun bagi mengenang legasi penyair tersohor itu pada Sabtu lalu.

Acara yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu menyaksikan kehadiran pelbagai tokoh seni dan masyarakat yang mahu meraikan sumbangan Pyanhabib terhadap dunia puisi dan kesusasteraan tanah air.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Haji Muhamad yang menegaskan malam tersebut menjadi detik istimewa buat mereka yang mengikuti perjalanan kreatif Pyanhabib, pemuisi yang hilang pendengaran namun tetap lantang ‘bersuara’ melalui karya-karyanya.

Acara turut dimeriahkan dengan pelancaran lagu puitis Pujangga Kontra Di Kaki Lima, ciptaan Ajin Black Rose yang menjadi simbol penghormatan terhadap ketajaman daya fikir dan estetika seni Allahyarham.

Imuda sebak ketika menceritakan kisah persahabatannya dengan arwah Pyanhabib. 

Turut mendapat perhatian adalah sesi deklamasi 10 puisi karya Pyanhabib yang disampaikan oleh barisan seniman tersohor termasuk Sabri Yunus, Datuk Fauziah Nawi dan Datuk A. Rahim Muda (Imuda), selain beberapa penyair jemputan lain.

Penyair pelapis seperti Heidi Pyanhabib dan Qasyaf Iman turut tampil mempersembahkan puisi, memperlihatkan kesinambungan generasi dalam dunia kepenyairan yang diasaskan oleh tokoh berpengaruh seperti Pyanhabib.

Sebagai mengenang perjalanan panjang hidup dan seninya, satu montaj visual memaparkan momen-momen penting sepanjang kerjaya Allahyarham turut dipertontonkan kepada para hadirin, mengundang rasa sebak dalam dewan.

Dalam pada itu, WHAM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan malam peringatan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon dan penyair Pyan Habib meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Pyanhabib Kesal Produksi Drama Terbaik Tidak Beri Kredit Puisinya

Program tersebut bukan sekadar sebuah acara rasmi, tetapi satu perhimpunan kasih dan hormat kepada seorang seniman yang meninggalkan warisan mendalam dalam dunia puisi dan kesenian tanah air.

Buat kali pertama, WHAM turut memperkenalkan segmen Memori Bersama yang dikendalikan oleh Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin. Segmen itu menampilkan dua individu yang sangat dekat dengan Allahyarham iaitu isterinya, Zurina Zakaria atau mesra disapa Erin dan sahabat karibnya yang juga pengarah filem, Nasir Jani.

Perbualan mereka membuka sisi peribadi yang jarang didengar umum, kehalusan hati Pyanhabib, selorohnya yang tersendiri dan kecintaannya terhadap dunia seni.

“Bagi WHAM, karya dan pemikiran Pyanhabib tidak akan pernah pudar. Puisinya terus bernafas, falsafahnya masih dirasai dan semangat seninya akan menjadi ilham untuk generasi seterusnya,” kata Tengku Khalidah.

Sementara itu, pelakon dan pelawak, Datuk A Rahim Muda, 66, atau mesra disapa Imuda yang tampil membacakan puisi nukilan Pyanhabib sempat bercerita mengenai persahabatan mereka yang diibaratkan seperti abang dan adik. 

Nasir Jani merupakan individu terawal yang melamar Pyanhabib sebagai pelakon.

"Saya dengan dia sangat rapat macam abang dan adik. Kami kenal dari awal kerjaya lagi.

"Jika orang lain mungkin hanya ada kenangan bergambar dengan arwah, tapi kami ada cerita bersama dalam filem Mat Som dan Kembara Seniman Jalanan.  

"Arwah seorang sahabat yang baik. Dia sangat menjaga saya. Malah jika saya ada masalah dia minta untuk memberitahunya. Dia akan sedaya upaya menolong atau memberi nasihat,"katanya dengan penuh sebak.

Dalam pada itu, Nasir memberitahu antara kata-kata arwah yang masih segar dalam ingatannya adalah 'lawan tetap lawan' dan 'brother kita mesti terus hidup' sekali gus menjadi memberi semangat kepada dirinya terus berjuang dan berkarya.  

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, pada 4 Jun tahun lalu. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia