suria

Adira tunjuk bukti Datuk Red minta RM100,000, setuju tidak teruskan tuntutan hutang dalam perkahwinan

Adira tunjuk bukti tentang pemintaan Datuk Red.

PENYANYI Adira Suhaimi  tampil mendedahkan bukti tuntutan yang dibuat oleh bekas suaminya, Datuk Red bagi membatalkan kes rujuk yang sedang berjalan di mahkamah. 

Adira, 35, berkata dia terpaksa berkongsi sebahagian perbualan WhatsApp daripada peguam Datuk Red yang dilakukan sebelum perbicaraan pada 23 April lalu selepas pendedahan dirinya dipertikaikan netizen.

Kata Adira perbincangan tersebut dilakukan antara peguam kedua-dua pihak. 

Adira tegaskan dirinya memiliki bukti tentang tuntutan Datuk Red.

“Saya tak suka benda-benda macam ini, tapi kalau orang sudah mempertikaikan, jarang-jarang saya nak menipu. Ini pertama kali saya buka sedikit, bukan semuanya.

“Saya tak bercakap saja-saja. Peguam Datuk Red beritahu ada perkara yang ditawarkan untuk penyelesaian. Bila saya dan peguam bermesyuarat, saya balas semula tawaran tersebut melalui peguam dia,” katanya menerusi temu bual bersama Hlive.

Menurut Adira, antara maklum balas yang diberikan adalah persetujuan terhadap bayaran RM100,000, namun dengan syarat jumlah tersebut ditolak daripada hutang selepas perceraian seperti dinyatakan dalam surat tuntutan (LOD).

Penyanyi itu turut menyebut tentang tuntutan hutang yang dibuat antara mereka ketika masih bergelar suami isteri. 

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen desak Datuk Red belum ‘move on’, tunggu 25 Jun untuk ceraikan Adira... "Kalau boleh mahu segera"

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Datuk Red tak hadap rujuk Adira, sangkal dakwaan minta RM100,000 untuk gugur kes

"Ini adalah balasan balik saya melalui peguam  iaitu ‘Puan Adira maklumkan beliau bersetuju RM100,000 itu. Tapi jumlah tersebut hendaklah ditolak dari hutang selepas penceraian sebagaimana di dalam LOD yang telah diterima oleh Datuk Red’.

"Banyak saya bagi dia senang tapi dia masih tidak mengaku. Saya sudah tunjuk bukti dari pihak saya. Saya harap ini yang pertama dan terakhir,” ujarnya membaca mesej yang diterima. 

Meskipun Adira bersetuju dengan kesemua tuntutan tersebut namun peguam mewakili Datuk Red memohon agar amaun RM100,000 diasingkan daripada hutang.

Malah turut dicadangan bayaran dibuat secara tunai, manakala tuntutan hutang sivil kekal dibatalkan.

"Setelah berbincang anak guam kami memaklumkan bersetuju dengan kesemua syarat tersebut kecuali perenggan satu. Anak guam kami memohon untuk diperhalusi dan dipertimbangkan semula.

Adira kongsi bukti Datuk Red mahukan RM100,000.

"Anak guam kami mohon untuk diasingkan antara amaun tersebut dengan hutang yang mana pihak kami bersedia dengan tawaran penyelesaian secara tunai manakala tuntutan hutang tersebut kekal dibatalkan," kongsinya merujuk kepada mesej berkenaan. 

Pada Khamis lalu, Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan bekas suaminya iaituAdnan atau mesra disapa Datuk Red, 48, yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk membabitkan mereka.

Adira, mendedahkan usahawan tersebut meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes rujuk yang sedang berlangsung di mahkamah.

Selain itu, dia mendakwa bekas suaminya mahu saman sivil berkaitan tuntutan hutang digugurkan.

Adira jarang bersuara mengenai kisah peribadinya.

Bagaimanapun, Adnan menyangkal kenyataan Adira yang mendakwa dia meletakkan syarat tersebut, selain menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran termasuk meminta membatalkan kes saman sivil membabitkan hutangnya.

Adnan menfailkan kes pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember lalu.

Untuk rekod, Adira dan Adnan mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan bercerai pada 24 April lalu.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggerik, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain