suria

[V] Adira kesal Datuk Red letak syarat untuk batal kes rujuk, minta bayar RM100,000

PENYANYI Adira Suhaimi meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan bekas suaminya iaitu Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk membabitkan mereka.

Adira, 35, mendedahkan usahawan tersebut meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes rujuk yang sedang berlangsung di mahkamah.

Selain itu, Datuk Red juga didakwa mahu saman sivil berkaitan tuntutan hutang digugurkan.

Adira dan Datuk Red ketika ditemui di mahkamah.

"Saya agak terkilan juga atas tuntutan yang Datuk Red kemukakan terhadap Adira. Dua tiga hari sebelum ini, dia ada buat tuntutan yang mana dia boleh mengaku depan hakim yang rujuk ini tidak berlaku, tapi kena ikut syarat dia.

"Syaratnya adalah untuk gugurkan saman sivil saya terhadap dia iaitu berkaitan tuntutan hutang dan juga, dia nak saya bagi dia RM100,000 untuk batalkan kes rujuk ini. Itu adalah antara syarat yang dia bagi kepada saya," katanya kepada mStar. 

Adira mendedahkan perkara itu ketika ditemui selepas perbicaraan kes rujuk di antara mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor pada Khamis. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Adira tak halang bekas suami datang sokong TTMM2, mahu elak drama demi anak

ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak selesa dengan jejaka misteri, Adira Suhaimi mahu terus rahsiakan kisah cinta

Dalam pada itu, Adira menyifatkan segala syarat dan tuntutan berkenaan tidak wajar memandangkan dia kini bekerja keras demi menyara keluarga.

"Tapi malangnya, saya tidak bersetuju sebab saya kerja pagi petang siang malam, ada tanggungan dekat rumah dan saya juga tidak pernah menyusahkan dia.

"Tergamaklah dia? Sanggup dia bagi tuntutan macam itu terhadap bekas isteri dia. Tuntutan dekat saya itu memang tak patutlah," ujarnya.

Menjelaskan mengenai saman sivil yang disebut, Adira memaklumkan perkara itu membabitkan wang pinjaman yang diberikan kepada Datuk Red selepas mereka bercerai.

Duit pinjaman yang diberi selepas kami bercerai.

ADIRA SUHAIMI

PENYANYI

Menurut Adira, jumlah tersebut mencecah ratusan ribu dan dia menuntut haknya dipulangkan semula mengikut saluran undang-undang.

"Untuk saman sivil itu berkenaan dengan tuntutan hutang tu, saya dah failkan tahun lepas. Tuntutan hutang ini sebenarnya adalah duit pinjaman yang diberi selepas kami bercerai.

"Saya minta dia bayar balik. Bukan sikitlah, ratusan ribu. Dia masih dalam prosiding lagi sebab saya rasa Datuk Red punya nama pun bankrap kan, jadi ada langkah yang kami perlu lalui untuk buat proses ni berjalan dengan lancar," ujarnya. 

Sementara itu, Adira berkata selama ini dia memilih untuk mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Adira mempunyai empat orang anak bersama Datuk Red.

"Saya tidak minta apa-apa sampailah sekarang dan saya tak pernah berbunyi pun. Kalau apa-apa pun saya tak pernah keluarkan sehinggalah hari ini.

"Takkanlah saya nak diam saja kan orang dah pijak-pijak macam tu kan. Bagilah saya bercakap sekali, tapi benda yang sepatutnya saja saya cakap, yang perlu saja," tambahnya. 

Prosiding pengesahan lafaz rujuk itu ditangguhkan pada 25 Jun depan.

Untuk rekod, Datuk Red memfailkan pengesahan rujuk pada Disember tahun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 dan bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berikut

Artikel Lain