suria

“MRSM mana ni?” - Tular video baju seragam sekolah kena gunting, Asyraf Wajdi beri amaran tegas

Video tular memaparkan baju seragam seorang pelajar MRSM yang didakwa digunting pelaku.

RAKAMAN video yang memaparkan dua helai baju seragam sekolah dengan kesan gunting dan koyak mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads pada Jumaat, pemilik akaun tersebut mendakwa pakaian seragam milik adiknya dirosakkan oleh pelajar Tingkatan 1 di sekolahnya.

"Selalu dengar orang lain yang kena buli, sekali kena dekat adik sendiri. Ayah kita beli baju guna duit dik, bukan guna tisu. Baru Form 1 dah tunjuk 'garing' ya," tulisnya dalam laman sosial tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “You touch, you go!” - Asyraf Wajdi sahkan pelajar terlibat insiden buli digantung persekolahan

Lebih mengejutkan, dia mendakwa adiknya berdepan dengan pelbagai gangguan termasuk buku diconteng serta barangan peribadi dirosakkan oleh pelajar lain. 

"Adik saya sampai dah kemurungan, tapi dia masih minat nak belajar di situ. 

"Buku-buku diconteng, kasut bola, cadar, locker dikopak dan bermacam lagi. Kami tiada niat untuk viral atau bawa kes ni ke atas sebab dah jumpa kaunselor.

"Cuma nampaknya, kes masih dalam siasatan tetapi adik masih diejek, diconteng barang-barang dan bermacam lagi," tambahnya.

Meskipun enggan mendedahkan lokasi sekolah, namun warga maya meneka kejadian berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berikutan warna pakaian seragam sekolah yang dipaparkan dalam video. 

Tidak kurang juga ada yang 'menyeru' Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di ruangan komen agar mengambil tindakan tegas terhadap pelaku. 

Asyraf Wajdi yang kemudian memberi maklum balas meminta pemilik akaun berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat selain memberi jaminan siasatan akan dilakukan tanpa kompromi.

"MRSM mana ni? Bagi maklumat pada saya, tiada kompromi dengan perbuatan buli seperti ini, #YouTouchYouGo," tegasnya di ruang komen balas.

Artikel Lain