suria

Bos tak iktiraf cuti sakit hospital swasta, rancang pecat staf hamil - “Bersedialah bayar pampasan tinggi!”

Masalah kesihatan sering menggagu tugasan wanita hamil di pejabat. -Gambar hiasan AI

KEBANYAKAN wanita hamil cenderung mengalami masalah kesihatan disebabkan perubahan hormon di dalam badan.

Situasi yang dialami itu adakalanya menjejaskan prestasi kerja mereka kerana kekerapan cuti sakit selain sering mengalami keletihan melampau.

Malah ada yang dimasukkan ke hospital untuk tempoh yang lama seperti dilalui wanita ini.

Meskipun menerima cuti hospital (HL) selama 13 hari bermula 16 April lalu, namun legitimasinya dipertikaikan kerana bukan daripada hospital kerajaan.

Wanita hamil yang masih bekerja sering mengalami masalah kesihatan. -Gambar hiasan

Wanita hamil yang masih bekerja sering mengalami masalah kesihatan. -Gambar hiasan

Lebih mengejutkan apabila dia didakwa bakal diberhentikan disebabkan cuti berkenaan.

Menyedari kejadian yang berlaku, rakannya cuba mempertahankan dengan menyatakan polisi syarikat tidak menetapkan HL hanya diterima daripada hospital kerajaan.

"Aku baru bergaduh dengan  bos, ada seorang staf tempat kerja aku ni hamil dan dia masuk hospital, dapat HL dari 16 hingga 28 April.

"Tapi bos aku ni tak nak bagi sebab dia kata bukan hospital kerajaan. Jadi aku cakaplah yang syarikat tak ada polisi untuk masuk hospital awam baru layak guna HL.

  • Wanita hamil dapat HL 13 hari kerana dimasukkan ke hospital.
  • Majikan pertikai kerana bukan dari hospital kerajaan.
  • Staf hampir ditamatkan kerja akibat kerap cuti sakit.
  • Rakan tampil pertahan, ingatkan risiko aduan JTK.
  • Netizen sokong, nasihat kumpul bukti jika diberhentikan.

"Dia nak terminate staf tu sebab banyak cuti sakit sekarang ni," adunya di Thread.

Terkejut dengan kata-kata tersebut, wanita ini kemudiannya menasihati majikan dengan menyatakan kebimbangan sekiranya pekerja terbabit membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Malah wanita berusia 34 tahun ini turut mengingatkan majikannya bahawa bayaran saman tidak boleh menggunakan duit syarikat.

"Aku terus cakap kat bos, kalau tiba-tiba dia buat aduan pada JTK sebab diberhentikan, bos bayar guna duit bos, jangan guna duit syarikat. Nak berhentikan kena ikutlah proses yang sebenarnya," tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat aduan lepas ‘resign’, wanita menang kes cuti bersalin tak ikut akta! Majikan rasa teraniaya diarah bayar pampasan

ARTIKEL BERKAITAN: Dibuang kerja, wanita hamil buka cerita sedih... Gaji suami tak cukup, tagih simpati jual laksa

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji keberanian pengadu yang sanggup bertekak dengan majikan demi rakan sekerja yang dizalimi.

Malah, ramai yang menyarankan agar staf hamil tersebut mengumpul segala bukti kukuh sekiranya majikan tetap meneruskan niat untuk memecatnya tanpa alasan sah di sisi undang-undang.

"Tak boleh berhentikan wanita hamil, kalau buat juga... bersedialah pampasan 12 bulan gaji.

"Biar je dia berhentikan pekerja tu, lepas tu kau tolong bagi bukti untuk failkan aduan," demikian reaksi netizen.

Berdasarkan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) Jabatan Tenaga Kerja, pekerja wanita yang hamil di Malaysia dilindungi oleh undang-undang buruh.

Perkara itu dimaklumkan dalam laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang mana hak dan manfaat tertentu diberikan bagi memastikan kebajikan mereka dijaga sepanjang kehamilan sehingga selepas bersalin termasuk perlindungan daripada pemecatan semasa hamil.

"Majikan tidak boleh memberhentikan pekerja hamil atas sebab kehamilan. Pemecatan hanya dibenarkan jika disebabkan salah laku serius, penutupan syarikat, atau pengurangan pekerja.

"Namun bukti berkaitan perlu disertakan," katanya.

Artikel Lain