SEORANG wanita berdepan detik mencemaskan apabila didakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika berjalan kaki pulang ke rumah di lorong sebuah taman perumahan di Setia Alam, Shah Alam pada Selasa.Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 petang itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dikatakan sedang berjalan bersendirian selepas pulang dari tempat kerja sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.06 malam.Menurut Sarudin, siasatan awal mendapati mangsa diserang secara mengejut dari arah belakang oleh seorang lelaki yang memakai baju merah dan seluar hitam."Suspek kemudiannya memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan merabanya. Lelaki itu kemudian melarikan diri. Tiada kerugian dialami mangsa," katanya pada Rabu.Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.