STRUKTUR bangunan atau flat yang dikaitkan dengan penempatan haram etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat, Selangor bakal berdepan tindakan perobohan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.Menurut Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim, sebahagian besar struktur bangunan berkenaan dibina di atas tanah hak milik individu dan sebahagian kecil berada di kawasan rizab jalan dan sungai. "Berhubung bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, satu tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa."PDT Hulu Langat bersama semua agensi penguatkuasaan daerah sentiasa komited dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan lunas undang-undang yang berkuat kuasa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.ARTIKEL BERKAITAN: “Pelik rumah ni, buat sendiri ke?” - Azad Jasmin terkejut jumpa flat misteri, polis sahkan pernah cekup 42 PATI di lokasi samaTambah Mohd Jusni, pihaknya juga pernah mengambil tindakan perobohan menerusi operasi bersepadu pada tahun 2017 bersama beberapa agensi berkaitan."Untuk rekod PDT Hulu Langat mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur kediaman terbabit pada tahun 2017, 2020, 2021 dan terbaru pada 13 Mac 2025 selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828)," katanya lagi.Pada Selasa mStar melaporkan tentang pendedahan yang dibuat selebriti dan penyampai radio, Azad Jasmin, 50, mengenai kewujudan bangunan misteri empat tingkat yang kelihatan uzur di Hulu Langat.Ia sekali gus mengundang kebimbangan ramai lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan penempatan haram etnik Rohingya.Isu berkenaan turut menarik perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap bangunan yang dibina tanpa kebenaran di kawasan berkenaan bukan perkara baharu.Menurut Amirudin, PDT Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia antara agensi yang terlibat dalam operasi, siasatan serta tindakan penguatkuasaan di lokasi berkenaan."Pelbagai tindakan telah diambil sejak tahun 2016 termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta tindakan perobohan."Kerajaan Negeri menegaskan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada," katanya menerusi kenyataan di Facebook.