GELARAN kebesaran yang membawa pangkat 'Tan Sri' milik bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad, ditarik balik berkuat kuasa 8 Jun lalu. Perkara itu diumumkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Khamis yang memaklumkan pengurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) kepada Mohd Isa telah dibatalkan.Mohd Isa yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor, secara automatik kehilangan gelaran 'Tan Sri' susulan pembatalan anugerah berkenaan.Menurut JPM, tindakan tersebut dibuat selaras dengan Perenggan XXV dan XXVIA Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia yang membenarkan penarikan balik darjah kebesaran terhadap penerima yang disabitkan dengan kesalahan jenayah.Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa keputusan berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira sabitan jenayah yang dikenakan terhadap Mohd Isa.Selain itu, pembatalan tersebut juga dibuat bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dizahirkan ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 7 September 2024.Baginda sebelum ini menegaskan bahawa sebarang darjah kebesaran persekutuan boleh ditarik balik sekiranya penerimanya didapati terlibat atau disabitkan dalam kesalahan yang mencemarkan nama baik anugerah tersebut.Mohd Isa sebelum ini menjadi antara tokoh politik berprofil tinggi yang berdepan tindakan undang-undang dan kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan berkaitan rasuah. Untuk rekod, bekas Pengerusi Felda itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta, pada Februari lalu.Suapan berjumlah RM3.09 juta itu didakwa diterima daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.