MISTERI kematian seorang wanita yang ditemukan tidak bernyawa selepas menjamah sate kiriman individu tidak dikenali akhirnya terungkai selepas siasatan polis menemukan petunjuk baharu yang mengejutkan.Mangsa, Aminah, 56, sebelum ini dilaporkan menerima kiriman sate daripada seorang penghantar motosikal pada 19 Mei lalu sebelum ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Boyolali, Indonesia. Keadaan mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan mulut berbuih mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan ahli keluarga.Perkembangan terbaharu kes itu menyaksikan polis menahan menantu mangsa, Purwadi Wahyudi, 40, yang dipercayai menjadi dalang di sebalik kiriman sate dicampur dengan racun tikus.Ketua Polis Boyolali, AKBP Indra Maulana Saputra berkata, siasatan mendapati suspek bertindak kerana menyimpan perasaan sakit hati terhadap ibu mentuanya yang didakwa sering memandang rendah dirinya.ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditemukan terlentang dan mulut berbuih, maut lepas makan sate dihantar pengirim misteri... Keluarga syak ‘kerja’ menantu kaki judi"Motifnya kerana suspek berasa tersinggung dan tidak dihargai. Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain merasakan dirinya sering dipinggirkan dan tidak dipandang mangsa," katanya dalam sidang media pada Isnin.Menurut Indra, perasaan itu dipendam sejak sekian lama sebelum memuncak sehingga suspek didakwa merancang pembunuhan terbabit dengan mencampurkan racun tikus ke dalam sate yang dihantar kepada mangsa.Memetik laporan mStar pada 1 Jun lalu, keluarga mangsa mengesyaki kematian wanita berkenaan mempunyai unsur jenayah selepas melihat keadaan fizikal mangsa sejurus ditemui tidak bernyawa.Susulan keraguan mengenai punca kematian, pihak berkuasa turut menggali semula kubur mangsa bagi menjalankan bedah siasat untuk mengenal pasti sebab sebenar kematiannya.Purwadi kini berdepan pertuduhan mengikut Pasal 459 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2025 Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.