PERTELINGKAHAN dipercayai berpunca daripada perebutan telefon bimbit bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemukan maut, dipercayai dibunuh kakak tirinya sendiri.Kejadian itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati suspek berusia 13 tahun dipercayai menekup mangsa sehingga lemas sebelum mayat kanak-kanak tersebut disembunyikan selama beberapa hari. Mangsa dipercayai dibunuh selepas berlaku pertengkaran berkaitan penggunaan telefon bimbit dalam kejadian pada petang 30 Mei lalu di sebuah rumah di daerah Sangkhla Buri, wilayah Kanchanaburi, Thailand.Menurut Ketua Polis Wilayah 7, Leftenan Jeneral Pisit Tanprasert pada Sabtu, kedua-dua kanak-kanak itu mempunyai ibu yang sama tetapi berlainan bapa.Hasil siasatan mendapati hubungan mereka sering tegang dan kerap berlaku pertengkaran, termasuk berebut menggunakan telefon bimbit.Mayat mangsa pada mulanya disembunyikan di dalam almari di dalam kediaman mereka.Kemudian, adik lelaki (bapa saudara mangsa) ibu mereka yang berusia 17 tahun didakwa membantu memindahkannya ke sebuah ladang getah kira-kira 600 meter dari rumah pada malam kejadian.Remaja lelaki itu turut dipercayai membakar guni yang digunakan untuk mengangkut mayat mangsa bagi menghapuskan bukti.Pisit berkata, ibu kepada kedua-dua kanak-kanak terbabit terkejut dan sukar menerima pendedahan hasil siasatan polis berhubung kehilangan anaknya.Jelasnya, sepanjang tempoh kehilangan mangsa, suspek berusia 13 tahun dan bapa saudaranya itu tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai kejadian sebenar.Mayat mangsa ditemukan pada 1 Jun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan punca kematian.Kedua-dua remaja terbabit kini menjadi suspek utama dalam kes berkenaan.Pihak berkuasa turut menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa yang mengalami tekanan emosi akibat tragedi tersebut. -Bangkokpost