SEORANG bapa pengantin perempuan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas tercetusnya pertikaian hangat mengenai isu hantaran serta jumlah mas kahwin ketika majlis pernikahan anak gadisnya.Tragedi menyayat hati itu berlaku selepas pengantin lelaki secara mengejut meminta hantaran dinaikkan daripada sebuah skuter kepada motosikal berserta sejumlah wang tunai. Insiden menyedihkan ini dilaporkan berlaku di Uttarakhand, India.Berdasarkan laporan media pada Selasa, rombongan pengantin lelaki pada mulanya tiba dari Bareilly, Uttar Pradesh untuk menghadiri majlis perkahwinan yang berlangsung di sebuah dewan perkahwinan.Majlis yang pada awalnya berjalan lancar tiba-tiba bertukar kecoh apabila berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua belah keluarga ketika proses akad nikah sedang berjalan, berhubung jumlah mas kahwin dan dakwaan tuntutan hantaran tambahan.Keluarga pengantin perempuan mendakwa pihak lelaki sebenarnya telah membuat beberapa tuntutan berlebihan sejak perkahwinan itu mula dirancang.Ia termasuklah menaikkan permintaan asal daripada sebuah skuter kepada sebuah motosikal, sebelum menuntut pula wang tunai tambahan sebanyak 100,000 rupee (kira-kira RM4,261).Pertikaian turut melibatkan jumlah mas kahwin yang wajib diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan mengikut tradisi Islam.Keluarga pengantin perempuan mahu jumlah tersebut ditetapkan pada 500,000 rupee (kira-kira RM21,308), namun pihak lelaki dilaporkan hanya bersetuju menawarkan 21,000 rupee (kira-kira RM894).Walaupun beberapa rundingan dan usaha damai dilakukan, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat sehingga ketegangan semakin memuncak.Dalam keadaan yang sangat tegang itu, bapa pengantin perempuan dikenal pasti sebagai Sadiq dilaporkan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan cemas.Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia dan ahli keluarganya mendakwa tekanan emosi akibat pertikaian berkenaan menjadi punca serangan jantung yang meragut nyawanya.Berita kematian itu mencetuskan kemarahan ahli keluarga pengantin perempuan serta penduduk setempat yang kemudian bertindak menahan pengantin lelaki bersama beberapa tetamu lain di dalam dewan.Malah, beberapa individu daripada rombongan pengantin lelaki turut dilaporkan diserang, manakala sebahagian tetamu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah berhampiran sebelum sebahagian struktur bumbung runtuh dan menyebabkan beberapa orang cedera. -Agensi