NIAT mahu membantu rakan bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia ditahan polis selepas menghantar bungkusan mengandungi hampir 800,000 pil Yaba.Lebih menyedihkan, lelaki dikenali sebagai Preedee, 36, dari Udon Thani, Thailand itu mendakwa dia langsung tidak mengetahui bungkusan dihantarnya itu mengandungi dadah dan hanya bersetuju membantu rakannya, Chatchai, atas dasar persahabatan. Dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi pada 7 Jun lalu di sebuah ladang getah di daerah Nong Saeng, wilayah Udon Thani, polis merampas sebanyak 769,000 pil Yaba serta dua telefon bimbit untuk siasatan lanjut.Menurut polis, siasatan terhadap Chatchai bermula selepas penahanan seorang pengedar dadah di wilayah Sakon Nakhon pada April lalu yang membawa kepada pendedahan mengenai satu rangkaian pengedaran lebih besar.Hasil pemantauan, polis mengesan sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan Chatchai sebelum menahannya. Namun ketika pemeriksaan dilakukan, Preedee adalah individu yang memandu kenderaan berkenaan.Preedee kemudian memaklumkan bahawa dia diminta menghantar satu bungkusan ke sebuah pondok di kawasan hutan pergunungan tanpa mengetahui kandungan sebenar bungkusan berkenaan.Dia seterusnya membawa polis ke lokasi tersebut dan pihak berkuasa menemukan ratusan ribu pil Yaba yang disembunyikan di situ.Sementara itu, Chatchai dilaporkan sempat melarikan diri ke dalam hutan sebelum berjaya dipujuk untuk menyerah diri selepas polis menghubungi ibunya.Ketika disoal siasat, Chatchai mengaku terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan mendedahkan dia bercadang memberikan upah sebanyak 10,000 baht (kira-kira RM1,233) kepada Preedee.Preedee bagaimanapun terus menegaskan dia tidak mengetahui apa-apa mengenai kegiatan haram rakannya itu.Suasana menjadi emosional apabila kedua-dua lelaki terbabit dilihat menangis dan berpelukan selepas sesi soal siasat.Walaupun mendakwa dirinya tidak bersalah, Preedee masih berdepan tindakan undang-undang sementara polis meneruskan siasatan bagi membongkar rangkaian pengedaran dadah tersebut.Untuk rekod, pil Yaba merupakan sejenis dadah sintetik dalam kumpulan Amphetamine-Type Stimulants (ATS) dan sering dikenali sebagai pil kuda dalam kalangan masyarakat di Malaysia. -Agensi