PENEMUAN mayat seorang wanita yang tinggal bersendirian menimbulkan pelbagai persoalan mengenai punca sebenar kematiannya.Ini disebabkan sehari sebelum itu, mangsa menerima kiriman sate ayam daripada individu tidak dikenali sebelum ditemukan sudah tidak bernyawa pada 19 Mei lalu. Keluarga mangsa berusia 57 tahun itu mengesyaki ada unsur jenayah selepas mengetahui wanita berkenaan menjamah sate yang dihantar oleh penunggang motosikal e-hailing.Kejadian dilaporkan berlaku di Boyolali, Indonesia.Menurut peguam keluarga mangsa, sate tersebut dibeli di kawasan Pandean sebelum dihantar ke rumah mangsa namun pengirim tidak dapat dipastikan pada ketika itu. Siasatan keluarga mendapati tempahan penghantaran dibuat menggunakan nama anak kedua mangsa. Namun anak mangsa menafikan pernah memesan atau menghantar sate berkenaan kepada ibunya.Malah sebelum menjamah makanan tersebut, mangsa dikatakan sempat menghubungi anaknya untuk mendapatkan kepastian mengenai kiriman itu. Keluarga turut menumpukan perhatian kepada salah seorang menantu mangsa dipercayai mempunyai hubungan kurang baik dengan wanita berkenaan.Menurut ahli keluarga, individu terbabit sebelum ini sering meminta wang daripada mangsa dan didakwa mempunyai rekod hutang serta ketagihan judi dalam talian. Kecurigaan keluarga semakin memuncak apabila lima ekor ayam dilaporkan mati selepas memakan sisa sate dan kuah yang ditinggalkan mangsa. Salah seekor ayam yang mati turut disimpan dan diserahkan kepada penyiasat sebagai sampel bagi membantu siasatan. Terdahulu, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di dalam rumah selepas anaknya berasa curiga apabila lampu kediaman masih menyala pada waktu pagi. Usaha memanggil mangsa berkali-kali tidak mendapat sebarang respons sebelum penemuan tersebut dibuat. Lebih mencurigakan, keluarga mendakwa terdapat kesan muntah pada pakaian mangsa selain buih keluar dari mulutnya. Mereka juga mendakwa bahagian mulut dan telinga wanita itu kelihatan kebiruan menyebabkan polis bertindak menggali semula kubur mangsa untuk tujuan bedah siasat dan mengenal pasti punca sebenar kematian. -Agensi