SEORANG pempengaruh media sosial wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di kediaman suaminya di kawasan Saadatganj, Lucknow, India pada Ahad. Insiden tragis itu dilaporkan berlaku selepas enam bulan mereka mendirikan rumah tangga.Susulan itu, kematiannya mencetuskan kontroversi apabila keluarga mendiang mendakwa dia menjadi mangsa penderaan berkaitan tuntutan hantaran tambahan sebelum dibunuh oleh pihak mentua.Menurut polis, mangsa berusia 24 tahun itu berkahwin dengan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial dengan hampir 750,000 pengikut di Instagram, pada 9 Disember 2025.Keluarga mangsa mendakwa selepas perkahwinan tersebut, wanita itu sering diganggu dan ditekan oleh suami serta ahli keluarga mentua yang menuntut hantaran tambahan termasuk sebuah kereta.Mereka turut mendakwa telah memberikan wang tunai sebanyak 700,000 rupee (kira-kira RM29,255) selain pelbagai barangan rumah sebagai hadiah semasa majlis perkahwinan berlangsung.Tambahnya, mangsa beberapa kali memaklumkan mengenai layanan buruk diterimanya daripada pihak mentua sehingga ahli keluarga terpaksa berulang kali datang ke rumah pasangan itu bagi menyelesaikan konflik.Laporan polis kemudian dibuat oleh bapa saudara mangsa yang mendakwa anak saudaranya dibunuh selepas keluarga mentua tidak berpuas hati kerana tuntutan hantaran tambahan gagal dipenuhi.Susulan aduan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap suami mangsa serta beberapa ahli keluarganya termasuk bapa mentua, abang ipar, kakak ipar dan ibu saudara sebelah suami.Polis memaklumkan mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat manakala beberapa pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan dan menahan semua suspek yang terlibat.Kes berkenaan kini disiasat mengikut peruntukan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) serta Akta Larangan Hantaran India, manakala tindakan lanjut akan diambil selepas laporan bedah siasat diperoleh. -Agensi