suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Wanita mangsa ‘skodeng’ lelaki miang didenda RM790, mahkamah dapati tumbuk muka pelaku 17 kali melampaui batas

Golongan wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual di tandas awam. -Gambar hiasan

SEORANG wanita dikenakan denda selepas didapati bersalah menyerang seorang lelaki yang merakamnya secara rahsia di dalam sebuah tandas wanita dua tahun lalu.

Mahkamah Daerah Changwon di Korea Selatan pada Isnin memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak KWR300,000 atau RM789 atas kesalahan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi pada 8 Disember 2024 di sebuah tandas awam wanita sebuah bangunan di daerah Seongsan-gu dekat Changwon.

Lelaki terbabit dalam lingkungan 20-an didakwa merakam wanita tersebut secara rahsia sebelum perbuatannya disedari tertuduh.

Tertuduh yang berang dengan perbuatan tersebut, menumbuk wajah lelaki berkenaan beberapa kali selain menghalangnya daripada melarikan diri dari lokasi kejadian.

Siasatan turut mendapati pelaku bukan kali pertama melakukan kesalahan sedemikian malah sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan serta tiga tahun percubaan pada Disember 2023 atas kesalahan sama mengikut Akta Hukuman Jenayah Keganasan Seksual.

Malah, kesalahan terbaharu itu dilakukan ketika dia masih berada dalam tempoh percubaan bagi kes lampau.

Sepanjang perbicaraan, tertuduh menafikan dakwaan menyerang lelaki berkenaan, namun mahkamah memutuskan sebaliknya selepas meneliti keterangan dan bukti dikemukakan.

Mahkamah menyatakan pelaku mengaku melakukan rakaman haram terhadap wanita itu dan secara konsisten melaporkan kecederaan akibat serangan diterimanya.

Susulan itu mahkamah menyatakan, adalah sukar untuk mempercayai bahawa pelaku mereka-reka dakwaan serangan memandangkan dia ketika itu berada dalam kedudukan yang memerlukan kerjasama serta penyelesaian baik dengan mangsa.

Mahkamah turut memutuskan tindakan tertuduh menumbuk wajah lelaki berkenaan sebanyak 15 hingga 17 kali melebihi batas pertahanan diri yang dibenarkan undang-undang dan tidak boleh dianggap sebagai sah di sisi peraturan sosial.-Agensi

Artikel Lain