PERTELINGKAHAN kecil antara dua penumpang bas bertukar menjadi insiden berdarah apabila seorang lelaki cedera di bahagian muka akibat diserang dengan senjata tajam.Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku di Tokyo, Jepun pada Isnin kira-kira pukul 10.15 pagi ketika kedua-dua lelaki berkenaan sedang turun dari sebuah bas di sebuah hentian di daerah Ota. Berdasarkan laporan, mangsa dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an atau 70-an ketika berada di dalam bas.Namun, sebaik sahaja turun berhampiran sebuah pondok polis, suspek didakwa mengeluarkan senjata menyerupai pisau lipat sebelum mengelar pipi kiri mangsa.Dia bagaimanapun melarikan diri selepas melakukan serangan berkenaan.Susulan itu, pemandu bas bersama mangsa yang cedera cuba mendapatkan bantuan di pondok polis berdekatan.Mangsa memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia tidak mengenali individu yang menyerangnya.Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian dan kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar pertikaian.Keadaan mangsa dilaporkan stabil meskipun mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat serangan berkenaan. -Agensi