KEHILANGAN ahli keluarga tersayang bukan sahaja memberi kesan emosi, malah waris selalunya terpaksa berdepan pula dengan urusan pengurusan harta pusaka yang sering dianggap rumit, pening kepala dan memakan kos yang tinggi.Menyedari hakikat itu, seorang wanita tampil berkongsi beberapa langkah penting yang boleh dilakukan oleh waris sebaik sahaja berlaku kematian ahli keluarga terdekat demi memudahkan proses pengurusan harta pusaka. Menurutnya, perkara paling pertama dan kritikal yang perlu dilakukan adalah membuat salinan kad pengenalan arwah sebelum sijil kematian rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa."Pastikan fotostat kad pengenalan arwah dalam versi berwarna dan hitam putih terlebih dahulu kerana selepas sijil kematian siap, kad pengenalan tersebut akan dipatahkan," katanya.Setiap waris perlu berkumpul dan berbincang mengenai hutang serta harta si mati. -Gambar hiasan AITambahnya, bagi penjawat awam yang mempunyai pinjaman perumahan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), waris perlu segera memaklumkan kematian kepada pihak berkenaan."LPPSA akan mengeluarkan surat memaklumkan sama ada terdapat lebihan baki pinjaman atau masih ada baki yang perlu diselesaikan," jelasnya.Selain itu, waris juga disaran menyenaraikan semua aset yang dimiliki arwah termasuk rumah, tanah, kenderaan dan harta lain serta memastikan dokumen berkaitan lengkap.Menurut perkongsian tersebut, waris boleh mendaftar dalam sistem MyLand dan melantik seorang pentadbir dalam kalangan waris untuk menguruskan proses tuntutan harta pusaka.Bagi harta tanah pula, salinan sijil carian rasmi perlu diperoleh daripada pejabat tanah sebelum maklumat dimasukkan ke dalam sistem."Sesetengah negeri menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian, namun di Kelantan pemohon masih perlu hadir sendiri ke pejabat tanah dan membuat bayaran bagi mendapatkan dokumen berkenaan," katanya.Selepas semua maklumat lengkap diisi dalam MyLand, pemohon perlu memuat turun Borang A, mendapatkan pengesahan Pesuruhjaya Sumpah dan memuat naik semula borang yang telah dicop ke dalam sistem.Permohonan kemudian boleh dihantar untuk diproses sebelum waris dipanggil menghadiri sesi bicara, yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.Menurutnya, menguruskan sendiri proses tersebut berpotensi menjimatkan kos guaman antara RM5,000 hingga RM7,000.Antara dokumen yang biasanya diperlukan untuk permohonan melalui MyLand ialah:- Kad pengenalan arwah.- Sijil kematian.- Surat beranak arwah.- Kad pengenalan pasangan.- Sijil nikah.- Sijil cerai (jika berkaitan).- Kad pengenalan dan surat beranak semua waris.- Geran tanah.- Sijil carian rasmi tanah.- Geran serta pelan rumah.Semua dokumen berkenaan perlu disediakan dalam bentuk salinan hitam putih bagi memudahkan proses permohonan dan semakan oleh pihak berkuasa.