SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan maut dalam keadaan tergantung berhampiran sebuah tandas asrama sekolah. Keadaan kematian mangsa bagaimanapun mendatangkan rasa curiga ibunya sehingga mendorong pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh di lokasi kejadian.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Madhepura, Bihar, India pada 7 Jun lalu.Berdasarkan laporan, mangsa yang merupakan pelajar tadika UKG dan anak kepada Ramanand Yadav dilaporkan tinggal serta belajar di asrama sekolah berkenaan sejak enam bulan lalu.Timbalan Superintendan Polis Trafik, Chetananand Jha berkata, siasatan dibuat susulan laporan ibu mangsa, Gunjan Devi yang berasa curiga dengan kematian anaknya.Ekoran itu, polis membuka kertas siasatan dan menahan seorang lelaki dikenali sebagai Ankit Kumar.Ketika disoal siasat, suspek mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Anjali Kumari yang merupakan isteri kepada pengendali asrama, Sunil Kumar."Siasatan mendapati pada malam 6 Jun, mangsa dipercayai terserempak dengan pasangan terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum menjerit. "Bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar, Ankit didakwa menutup mulut dan hidung kanak-kanak itu sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," jelasnya.Polis turut mendakwa suspek cuba menghapuskan bukti dengan bantuan Sunil Kumar. Apabila usaha menyembunyikan mayat gagal, mereka dipercayai menggantung mayat mangsa menggunakan tali bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kanak-kanak itu membunuh diri.Tambahnya, siasatan awal turut menolak dakwaan bahawa dua individu tidak dikenali menceroboh sekolah dan menyerang mangsa.Sebaliknya siasatan menunjukkan pembunuhan itu dilakukan bagi menutup hubungan sulit serta mengaburi jenayah yang berlaku. -Agensi