suria

“Biarkan sahaja” – Ella terbuka terima kecaman, tidak kisah dibandingkan dengan artis lain

Ella tidak mahu memikirkan tentang perbandingan yang akan dilakukan oleh netizen.

PENYANYI Ella enggan mengambil pusing apabila ada sesetengah pihak mula membuat perbandingan penganjuran konsertnya dengan artis lain sebelum ini.

Ella, atau Nor Zila Aminuddin, 59, juga sedar situasi sebegitu kerap berlaku, apatah lagi menjelang Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari ini.

“Biarkan sahajalah. Saya rasa semua penonton dapat menilai sendiri. Kalau kita layan, perkara ini akan berterusan sampai bila-bila. Jadi yang baik kita ambil, yang buruk abaikan saja.

Ella sudah bersedia untuk menghiburkan penonton di SNBJ.

Ella sudah bersedia untuk menghiburkan penonton di SNBJ.

“Setakat ini memang saya tidak pernah memberikan respons terhadap kecaman netizen. Kalau ia tidak memberi manfaat, kita biarkan saja,” katanya kepada mStar.

Ella berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara makan tengah hari bersama media yang diadakan di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada Khamis.

Menurutnya, setiap komen atau kritikan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak uar-uarkan lagi banyak pahala” - Ella rupanya derma secara senyap, puluhan terima bantuan bulanan tak tahu siapa pemberi sebenar

ARTIKEL BERKAITAN: Ella kongsi pengalaman bikin album di Amerika Syarikat, sedia rakam semula lagu lama

“Saya tidak rasa tertekan, sebaliknya ia lebih memberi semangat untuk meneruskan konsert ini. Saya rasa kita perlu positif kerana kawan-kawan juga memberikan sokongan,” ujarnya.

Mengulas tentang konsep dan penganjuran konsert tersebut, Ella memberitahu dia mendapat kerjasama daripada pihak yang berpengalaman dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada mereka.

Malah, penyanyi ini juga menjanjikan satu persembahan terbaik yang bakal meninggalkan kenangan indah buat para peminat.

“Saya tidak perlu pening memikirkan konsep setiap kali konsert kerana mempunyai sebuah pasukan yang terbaik.

Ella bakal mengadakan konsert di SNBJ pada 14 Februari ini.

Ella bakal mengadakan konsert di SNBJ pada 14 Februari ini.

“Kita akan menggunakan LED yang sangat hebat. Insya-Allah, penonton yang berada jauh pun dapat menonton persembahan dengan puas hati. Niat saya memang mahu semua penonton yang hadir rasa puas,” kongsinya.

Dalam majlis sama, Ella turut mengumumkan barisan artis jemputan yang bakal membuat persembahan, iaitu Amir Masdi, Tam Spider dan kumpulan The Boys.

Tiket konsert anjuran Hitman Solutions dan RockQueen itu dilaporkan telah terjual sebanyak 90 peratus sejak mula dibuka kepada umum pada 8 Disember lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain