suria
mStar - Urban.Versatil

“Kalau lapar saya teguk air paip” - Harun Hashim pernah tidur kaki lima

Harun Hashim mengimbau detik perit hidup di jalanan ketika remaja demi mengejar impian bergelar pelakon - Foto ihsan: Kosmo!

SIAPA sangka di sebalik wajah tenang pelakon veteran Harun Hashim, tersimpan kisah perit pernah hidup kelaparan dan menumpang tidur di jalanan demi mengejar impian menjadi anak seni.

Mengimbau detik awal memulakan karier lakonan sekitar tahun 1976, Harun, 70, mengakui dia bukan sahaja bergelut dengan kekurangan wang, malah pernah dihalau dari rumah oleh bapa kandung sendiri hanya kerana mahu bergelar pelakon.

Berbekalkan wang RM18 pemberian ibunya, Harun nekad tidak berpatah balik walaupun terpaksa menumpang tidur di kaki lima sekitar Stesen Bas Klang selama tiga hari.

“Selepas tiga hari tidur di kerusi batu dengan perut beralas empulur nanas sisa buangan peniaga yang dikutip dalam tong sampah, saya minta kerja di restoran mamak.

 Harun Hashim pernah menahan lapar dengan hanya meneguk air paip ketika aktif berteater - Foto ihsan: Kosmo!

“Dapatlah makan percuma dan lelapkan mata di bawah meja makan selepas kedai ditutup.

“Lama juga saya cuci pinggan sebelum panjangkan langkah ke Kuala Lumpur selepas diajak seorang tukang jahit kerja dengannya di Puchong.

“Saya belajar sembat kain. Bos saya juga buat baju untuk penari kebudayaan. Jadi dapatlah saya jumpa ramai anak seni hebat, ada (arwah) Datuk Hail Amir dan ramai lagi," katanya ketika ditemu bual seorang wartawan dari portal berita Kosmo! baru-baru ini. 

Menurut Harun, meskipun mengenai ramai insan hebat, namun perjalanannya mengejar cita-cita sebagai pelakon tidak mudah serta perlu melalui pelbagai ujian. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah kubur setiap hari, Harun Hashim menangis terkenang arwah isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pelakon Harun Hashim meninggal dunia akibat kanser payudara

“Peluang (berkenalan dengan ramai pelakon) itu saya gunakan untuk sertai latihan asas berlakon. Guru saya Datuk Ahmad Tarmimi Serigar. Tegas.

“Dari situ saya aktif teater tetapi masih tak berduit sebab kena bayar yuran. Kalau lapar sangat saya teguk air paip sampai kenyang,” katanya.

Tambahnya, segala pengalaman yang dilalui mematangkan dirinya sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia lakonan.

Rezeki Harun akhirnya terbuka apabila penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdullah Zainol menonton latihannya sebelum menawarkan watak dalam drama Damak yang turut dibintangi Ahmad Yatim.

Bermula dengan tidur di kaki lima, Harun Hashim kini dikenali sebagai antara wajah berpengalaman dalam dunia lakonan tempatan.

“Dari situlah saya meraih satu persatu tawaran sehingga wajah kerap masuk surat khabar.

“Selepas itu saya mula balik kampung, tapi walaupun bapa langsung tidak puji, saya tahu dia bangga kerana di kedai kopi dia cerita pasal drama saya. Itu sudah cukup mengharukan,” tuturnya.

Meskipun sudah mencecah usia 70 tahun dan menghidap pelbagai penyakit, Harun tetap aktif berlakon dan mencari rezeki. 

“Saya masih larat berlakon, terbaharu saya membintangi drama lapan episod arahan Pali Yahya berjudul Luka dalam Rindu dan bakal berlakon lagi dengan pengarah sama untuk projek akan datang.

“Kiranya boleh sahaja saya ke set. Bagusnya produksi ambil dan hantar saya sepanjang tiga minggu penggambaran berlangsung. Mata saya sebelah dah tak nampak, jadi lama tak memandu,” katanya.

 

 

Artikel Lain