suria
mStar - Urban.Versatil

Anak wanita dikerat tujuh buka cerita... Suspek tetap ganggu lepas dapat RM7,000 ‘pampasan’ putus tunang - “Mama sudah bayar”

Suspek utama (kiri) kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat tujuh kini ditahan reman.

"DIA (suspek) setuju tamatkan pertunangan itu, tetapi minta RM7,000. Mama sudah bayar".

Demikian perkongsian anak lelaki kepada wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian sebelum dibuang di tapak pelupusan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada Khamis lalu.

Menerusi siaran langsung di TikTok, di berkata, pembatalan pertunangan antara ibunya dan lelaki berkenaan menjadi titik mula kepada konflik yang akhirnya meragut nyawa ibunya secara tragis.

Menurutnya lagi, sepanjang dua hingga tiga bulan tempoh pertunangan, hubungan ibunya dan suspek sering dilanda pertengkaran akibat perbezaan pendapat dan kurang persefahaman.

"Apabila pertengkaran semakin kerap berlaku, mama memutuskan untuk tidak meneruskan hubungan itu. Lelaki tersebut datang bertemu keluarga dan bersetuju untuk berpisah, namun meminta RM7,000. Mama sudah pun membayarnya," katanya.

Dalam siaran langsung sama, anak lelaki mangsa turut mendedahkan bahawa selepas pertunangan diputuskan, dia menasihati ibunya agar tidak lagi berhubung dengan suspek walaupun sekadar berkawan.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara cemburu, wanita dikerat tujuh! Lelaki 70-an bersama anak kandung ditahan bantu siasatan

"Walaupun hubungan mereka berakhir, lelaki itu terus mengganggu mama. Dia tidak hanya menggunakan satu nombor telefon, malah menghubunginya melalui enam nombor berbeza.

"Saya minta mama menjauhkan diri daripada individu itu. Mama bersetuju dan berkata akan mengikut nasihat saya demi kebaikan semua," ujarnya.

Anak lelaki mangsa turut menjelaskan bahawa ibunya kemudian berkenalan dengan lelaki lain dan mereka berkahwin pada awal Januari lalu.

Menceritakan kejadian sehari sebelum mayat ibunya ditemukan, lelaki itu berkata pada Rabu (11 Februari), ibunya menghadiri satu majlis kenduri sebelum pulang ke rumah.

Pada sebelah petang, mangsa keluar semula untuk bertemu 'seseorang' bagi menyelesaikan urusan tertentu.

"Sekitar pukul 5 hingga 6 petang, mama sudah tidak dapat dihubungi. Panggilan dan mesej tidak berjawab, malah telefonnya juga tidak lagi aktif.

"Kami mula bimbang kerana mama biasanya akan memaklumkan jika pulang lewat. Abang saya tidak tidur sepanjang malam, cuba menghubunginya setiap setengah jam sehingga pagi.

"Keesokan harinya, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang wanita. Hati kami hancur apabila melihat perkongsian di media sosial yang memaparkan bahagian tubuh mangsa. Saya kenal tangan ibu saya, memang itu tangan mama," katanya sebak.

Sehingga kini dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 71 tahun yang dipercayai bekas tunang mangsa serta anak lelakinya berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. 

Polis mengesahkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu. -The Star

Artikel Berikut

Artikel Lain

Hafiz Suip kembali bergelar suami