suria
mStar - Urban.Versatil

Rupanya bekas tunang… Suspek kes wanita dikerat tujuh mahu tuntut semula duit pertunangan, dakwa mangsa sudah kahwin

Suspek didakwa cuba membuat tuntutan wang pertunangan daripada mangsa. -Foto Polis Kota Kinabalu

SIASATAN awal pembunuhan kejam wanita dikerat tujuh bahagian di Kota Kinabalu, Sabah mendapati suspek utama kes adalah bekas tunang kepada mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pengakuan itu diperoleh hasil soal siasat awal terhadap suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun.

"Suspek mendakwa pembunuhan itu berkait perselisihan hubungan peribadi antara dia dan mangsa, termasuk isu tuntutan wang pertunangan selepas pertunangan mereka dipercayai putus kerana mangsa sudah berkahwin dengan individu lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara cemburu, wanita dikerat tujuh! Lelaki 70-an bersama anak kandung ditahan bantu siasatan

"Keadaan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sehingga membawa kepada kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu, mStar melaporkan mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal melibatkan tangan dan kaki pada pukul 6.30 pagi Khamis sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada pukul 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

Artikel Lain