suria
mStar - Urban.Versatil

Angkara cemburu, wanita dikerat tujuh! Lelaki 70-an bersama anak kandung ditahan bantu siasatan

Anak kepada suspek turut ditahan susulan kes penemuan mayat yang dikerat kepada tujuh bahagian. -Foto Facebook

POLIS berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan wanita dikerat kepada tujuh bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi berasingan di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Lelaki berusia lingkungan 70-an itu diberkas menerusi satu operasi kira-kira pukul 5 petang dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan sebahagian anggota badan mangsa wanita berusia lingkungan 40an itu di kawasan Indah Permai. 

Operasi bersepadu berkenaan membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman.

Difahamkan, identiti suspek dikenal pasti susulan penemuan kepala dan badan mangsa, selepas penemuan awal tangan serta kaki di dalam tong sampah di lokasi berasingan.

Maklumat awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang mencetuskan pertengkaran sebelum berakhir dengan insiden tragis tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan penahanan suspek utama dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Susulan itu, suspek kini ditempatkan di hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses permohonan reman dibuat.

Sementara itu, polis turut menahan anak kandung kepada suspek utama yang berusia lingkungan 20an bagi membantu siasatan. 

Lelaki terbabit ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira pukul 11 malam pada Khamis.

Artikel Lain