suria
mStar - Urban.Versatil

[V] Lelaki buka jurus kung fu berjaya selamatkan nyawa tiga murid sekolah

Aksi kung fu seorang lelaki berjaya menyelamatkan tiga murid daripada dirempuh kereta. -Gambar Facebook Syed Shukri MK

TINDAKAN pantas seorang lelaki melakukan aksi kung fu berjaya menyelamatkan beberapa murid daripada dirempuh sebuah kereta di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Berdasarkan video yang dikongsi Syed Shukri di Facebook [Tonton Video], tiga murid perempuan Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), sedang melintas jalan sebelum sebuah kenderaan dipandu laju hampir melanggar mereka.

Mujur, tindakan berani lelaki berkenaan yang berlari dari seberang dan kemudian membuat gaya kung fu berjaya mengelak daripada berlakunya kecelakaan.

Lelaki itu kemudian dipercayai memarahi pemandu kereta tersebut berikutan lampu isyarat untuk kenderaan pada waktu itu berwarna merah.

Syed Shukri yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPD amat berterima kasih dan memuji tindakan berani lelaki yang dikenali sebagai Abdul Rauf dalam usaha menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

"Terima kasih Abdul Rauf atas usaha, cakna dan keberanian anda , kami PIBG amat hargai. 

"Ada masa kita jumpa.Nak belajar kung fu yang tuan buat tu," katanya.

Syed Shukri memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan telah membuat laporan polis bagi memastikan aspek keselamatan pelajar dipertingkatkan.

“Kejadian itu nyaris menyebabkan kemalangan serius melibatkan pelajar.

"Syukur tiada perkara buruk berlaku dan diharapkan semua pemandu lebih peka serta memperlahankan kenderaan apabila melalui kawasan sekolah,” katanya.

Artikel Lain