suria
mStar - Urban.Versatil

[V] “Juruwang warga asing jual kat kroni” - Rakyat Malaysia letih isu minyak masak paket subsidi tak selesai

Seorang warga asing membeli minyak masak paket subsidi di sebuah pasar raya. -Gambar media sosial

TINDAKAN seorang lelaki warga asing membeli minyak paket bersubsidi di sebuah rangkaian pasar raya borong menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi perkongsian di media sosial [Tonton Video], individu itu kelihatan mudah membuat pembayaran di kaunter yang turut dikendalikan seorang pekerja asing.

"Juruwang warga asing, jual minyak paket kat kroni dia. Letak dalam plastik ingat orang tak perasan la tu," tulis individu yang berkongsi video berkenaan.

Susulan pendedahan rakaman yang dipercayai berlaku di Selangor itu, netizen menyifatkan warga asing lebih mudah mendapatkan minyak paket bersubsidi berbanding rakyat tempatan yang perlu membuktikan diri sebagai warganegara terlebih dahulu menerusi aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

"Orang malaysia sendiri kena guna eCOSS, kalau tiada aplikasi kena letak semula minyak tu. Tapi mereka (warga asing) mudah ja rembat.

"Saya yang muka Melayu, ada MyKad tapi apabila nak beli minyak masak paket diarah letak balik. Tak boleh beli sebab tidak bawa telefon untuk imbas eCOSS," demikian antara komen netizen.

Setakat ini, berdasarkan jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 29 Januari lalu, warga asing dilarang membeli minyak masak paket subsidi mulai 1 Mac depan.

Larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Manakala, bagi penggunaan eCOSS sejak Mei 2025, sistem itu berjaya merekodkan penjualan lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi dalam kalangan warganegara.

Rakyat Malaysia perlu muat turun aplikasi eCOSS di telefon pintar dan perlu mendaftar dan sahkan identiti sebelum imbas Kod QR premis peruncit semasa membeli minyak bersubsidi.

Artikel Lain