suria
mStar - Urban.Versatil

Ramai sangka ‘overlap’ emas Ar-Rahnu cara bijak cari duit lebih... Sebenarnya jerat hutang!

Teknik ‘overlap’ menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat masa kini. -Gambar hiasan AI

BUKAN sekadar barang perhiasan dan pelaburan jangka panjang, mereka yang memiliki logam emas mula menjadikannya sebagai 'lubuk' tunai.

Tambahan pula, harga emas dilaporkan meningkat dengan ketara pada masa ini dengan kadar melebihi RM600 per gram.

Selain menjual semula emas lama, ada yang menjadikan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu sebagai ATM menerusi teknik overlap atau tebus gadai.

Teknik yang semakin popular ini membuatkan segelintir individu cuba menggandakan pemilikan emas.

Meskipun kelihatan mudah dan menguntungkan, strategi 'pelaburan' baharu itu didakwa memberi kesan buruk kepada pengguna.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna Facebok, Azinuddin Abdullah selepas mempelajari ilmu emas daripada mentor kewangan, Azizi Ali.

Menurutnya, sistem yang diperkenalkan itu boleh membuatkan segelintir individu terperangkap dalam hutang.

Ini empat sebab teknik overlap bahaya dilakukan.

1. Pinjam duit untuk melabur adalah berisiko tinggi

Bukan semua pelaburan menjanjikan keuntungan.

Bagi kategori pajakan, seseorang itu bukan sahaja boleh mengalami kerugian besar malah berkemungkinan terjebak dalam hutang yang banyak sekiranya harga emas semasa jatuh.

2. Kadar caj Ar-Rahnu

Ramai terlepas pandang soal caj simpanan atau upah gadaian. 

Kadar ini boleh mencecah sekitar 18 hingga 24 peratus setahun.

Maksudnya, kalau harga emas tidak naik melebihi kadar itu, individu terlibat sebenarnya sedang mengalami kerugian.

3. Harga emas tidak sentiasa menaik

Memang benar emas sering dianggap aset selamat.

Namun frasa ‘selamat’ itu tidak membawa maksud harga akan sentiasa naik kerana ada masanya harga emas boleh jatuh secara mendadak.

Jika harga emas jatuh semasa tarikh tamat tempoh gadaian, margin menjadi sempit seterusnya menyebabkan risiko kerugian makin besar.

4. Tidak dipersetujui pakar kewangan

Menurut Azizi Ali, ramai dalam kalangan perunding kewangan, pensyarah dan banker melihat teknik ini sebagai songsang dan berisiko tinggi.

Ia seolah-olah anda melakukan pinjaman demi membuat pelaburan yang belum tentu peroleh keuntungan.

Artikel Lain

Hafiz Suip kembali bergelar suami