suria
mStar - Urban.Versatil

Elak buka aib di media sosial, Didie Alias bimbang jejas kerjaya anak seni

Didie risau apabila trend tersebut semakin menjadi-jadi.

PELAKON dan pengacara Didie Alias menyifatkan trend segelintir selebriti yang gemar membuka aib serta berkongsi isu sensitif di media sosial sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Menurut Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 54, perkembangan dunia digital hari ini menyebabkan ramai terlalu mudah meluahkan perasaan secara terbuka tanpa memikirkan kesan terhadap diri sendiri dan orang sekeliling.

Sebagai anak seni yang sudah lebih tiga dekad berada dalam industri, Didie berkata generasi terdahulu mempunyai pendekatan berbeza dalam menyelesaikan konflik.

Didie jelaskan yang sebelum ini menggunakan pendekatan berbeza untuk selesaikan masalah. 

"Dahulu memang tak ada media sosial. Jadi, jika ada apa-apa tak puas hati, kita terus telefon. Selepas itu, jumpa depan-depan dan berbincang bersama. Apa yang tak puas hati, kita selesaikan.

"Sekarang semuanya sudah digital. Kadang-kadang kita cakap sikit sahaja, tetapi yang memanjangkan cerita itu orang lain. Mereka tidak tahu hujung pangkal.

"Tajuk sudah cukup untuk mereka jatuhkan hukum. Netizen kita ini ramai tak suka membaca sampai habis. Baca tajuk utama sahaja, kemudian terus hentam," katanya kepada mStar.

Berkongsi pengalaman peribadi, Didie memilih untuk tidak terlalu berkongsi hal peribadi sebaliknya selesa menyimpan perkara tertentu demi menjaga maruah dan keharmonian keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia 54 masih 'free hair'... Didie Alias malas layan suara netizen, anggap perubahan dengan izin Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan kecewa keputusan SPM tak cemerlang, Didie Alias kongsi kejayaan anak dapat 1A tapi kini genggam ‘master’

Disebabkan itu, sehingga kini anak-anaknya tidak mengetahui punca sebenar perceraiannya dengan bekas suami iaitu Allahyarham Ridzuan Hashim.

"Bagi saya, itu perkara peribadi, tak perlu dikongsi. Kalau nak berkongsi pun, kongsilah soal kejayaan, perniagaan atau apa sahaja yang baik kerana itu lebih bagus.

"Kadang-kadang apabila orang terlalu terbuka berkongsi perkara negatif, nampak tak cantik. Orang mula nilai peribadi kita sampai ada yang hilang rasa hormat, bukan sahaja sebagai individu, tetapi terhadap lakonan dan bakat kita," ujarnya.

Didie tidak pernah membuka aib keluarga di media sosial. 

Mengulas lanjut, Didie berpendapat isu kecil tidak wajar diperbesarkan sehingga menjejaskan hubungan sesama rakan industri.

"Kalau perkara kecil dilagakan, ia jadi besar. Akhirnya semua pihak rugi. Bagi saya, kalau tak puas hati, lebih baik cakap depan-depan dan selesaikan secara matang.

"Cuma budak sekarang kadang-kadang susah nak berdepan, nanti lain pula jadinya. Zaman kita dahulu tidak ada tarik rambut atau drama berlebihan. Cakap, selesai dan lebih mudah begitu," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berikut

Artikel Lain