suria
mStar - Urban.Versatil

Sayang nak buang, boleh ke makan kentang bertunas? Stok bawang, kacang hijau pun sama

Bahan makanan yang bertunas boleh mengakibatkan keracunan. -Gambar hiasan AI

SAYANG nak buang, tapi takut pula nak makan.

Dilema ini pasti pernah dialami oleh mak-mak atau anak muda yang baru belajar 'masuk dapur' selepas melihat stok bahan mentah sudah mula bertunas.

Ada yang beranggapan, kalau sudah bertunas maksudnya makanan itu sudah beracun.

Walau bagaimanapun, bukan semua makanan yang bertunas mengandungi toksin dan tidak boleh dimakan.

Mengulas mengenainya, pakar nutrisi dikenali sebagai Kiek berkongsi pandangan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dimakan bagi mengelakkan pembaziran atau risiko keracunan menerusi akaun TikTok @nutritionist_kiek.

1. Kacang soya hitam

Bagi peminat kacang, anda tidak perlu risau jika melihat kacang soya hitam mula bertunas.

Menurut Kiek, selagi kacang tersebut berada dalam keadaan elok dan bersih, kandungan nutriennya sebenarnya bertambah.

"Kacang soya hitam akan bertambah dengan vitamin B," jelas beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang nutrisi makanan.

2. Kacang Hijau

Kacang hijau juga boleh dimakan walaupun sudah bertunas kerana nutrien yang bertambah adalah vitamin C.

Bukan sahaja selamat dimakan, malah lebih berkhasiat apabila bertunas.

3. Bawang, halia dan ubi keledek

Bagi tumbuhan kategori umbi seperti bawang, halia dan ubi keledek, kandungan nutriennya mula berkurang apabila tunas sudah timbul.

Ia berikutan, nutrien yang terdapat di dalamnya telah digunakan untuk proses tumbesaran tunas tersebut. 

Malah, tekstur makanan juga akan menjadi kurang sedap berbanding biasa.

Walau bagaimanapun, bahan-bahan ini tidak bertoksin dan masih boleh digunakan dalam masakan selepas bahagian tunas dibuang.

4. Kentang

Situasi berbeza bagi kategori kentang.

Menurut Kiek, kentang yang bertunas mempunyai toksin semula jadi iaitu alkaloid glycosides seperti solanine.

Apa yang membimbangkan, toksin ini sangat tahan panas. 

Malah katanya, walaupun sudah dibuang tunas dan dimasak pada suhu tinggi, toksinnya tetap kekal di dalam.

Lebih bahaya lagi jika kulit kentang sudah bertukar warna menjadi hijau. 

"Semakin terang warna hijau tersebut, semakin tinggi kandungan toksin di dalamnya. Jika termakan, ia boleh menyebabkan simptom seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut dan sakit kepala.

"Ada juga yang dinaiki ruam dan mengalami demam," jelas beliau.

Sebagai langkah pencegahan, belilah barang dapur mengikut keperluan sahaja. 

Elakkan menyimpan stok terlalu banyak supaya bahan makanan tidak terbiar lama hingga bertunas dan kekal selamat untuk dinikmati seisi keluarga.

Artikel Lain